MUKHRIZ TAK FAHAM, JANJI KEPADA ANWAR ADALAH KONSENSUS PH

Menolak tanggapan bahawa beliau sedang dipersiapkan oleh bapanya untuk menjadi Perdana Menteri di masa akan datang, Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak pernah bercita-cita terlalu besar ke arah itu.

Meski demikian, Menteri Besar Kedah itu tetap sedia memainkan peranan lebih besar di peringkat persekutuan jika khidmatnya diperlukan.

“Sekiranya negara memerlukan saya di peringkat persekutuan, saya bersedia dan mampu memikul tanggungjawab itu.

“Cita-cita saya tidak terlalu besar. Saya tidak buat rancangan untuk menjadi Perdana Menteri seperti sesetengah orang lain melakukannya,” kata beliau.

Mukhriz seterusnya berkata, tiada perjanjian bertulis dibuat dalam kalangan pemimpin PH tentang tarikh khusus untuk Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan kerajaan.

“Tiada perjanjian bahawa ia mesti dilakukan dalam tempoh 2 tahun. Mungkin ada cadangan begitu, tetapi tiada persetujuan bertulis atau perjanjian mulut tentangnya,” kata beliau lagi.

Hmmmmm….

Tidak sukar sebenarnya untuk memahami bahawa kata-kata Mukhriz yang menyebut sesetengah lain yang begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri itu adalah ditujukan kepada Anwar.

Dalam masa yang sama, tidak sukar juga menilai bahawa apabila beliau menyebut dirinya bukan seperti itu, ia adalah sesuatu yang logik dan tepat sekali.

Ini kerana antara Mukhriz dan Anwar tentu jauh bezanya, baik dari segi perwatakan, nilai perjuangan, keberanian, semangat, rekod kerja, pergaulan – malah senang cerita, segala-galanya adalah jauh berbeza antara kedua-duanya itu.

Kerana itu, kalau pun Mukhriz mengatakan beliau mahu menjadi Perdana Menteri, bukan saja pemimpin Bersatu sendiri akan berfikir lebih daripada sekali untuk menyokongnya, malah barangkali Tun Mahathir sendiri akan merenung wajah anaknya itu dengan lebih lama tanpa mengelipkan matanya.

Hakikat ini tentu saja berbeza dengan Anwar. Di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, nama Anwar tidak sukar ditonjolkan lagi.

Dalam kedudukan sekarang, jawatan Perdana Menteri itu sebetulnya bukanlah dikejar atau disasarkan oleh Anwar, tetapi ia adalah sesuatu yang sudah dijanji, dipersetujui dan dimuktamadkan untuk diserahkan kepadanya.

Mungkin yang menjadi isu hanyalah tempoh masa janji itu mahu ditunaikan, tetapi yang lebih menjadi masalah ialah kerana ada pihak mahu janji tersebut dimungkiri.

Jika janji itu dipatuhi dengan semangat yang sama ketika perjanjian itu dimuktamadkan pada Kongres PH yang diadakan pada 7 Januari 2018 lalu, semuanya tidak akan jadi masalah seperti sekarang.

Lantaran itu, penting dalam soal peralihan kuasa yang sudah dipersetujui itu, ia bukan soal Anwar terlalu mengejar atau menyasarkannya, tetapi ia adalah janji yang sudah dipersetujui.

Jika tidak ada janji, lebih-lebih lagi jika tiada konsensus daripada semua parti dalam PH, barulah boleh dikata Anwar terlalu mengejar-ngejar jawatan seperti ada orang lain yang melakukannya ketika ini.

Susahkah Mukhriz nak faham mengenainya?

Atau beliau memang selalu “blur” dalam banyak perkara sehingga kerap digelar “Mat Blur” oleh mereka dalam Bersatu sendiri?

-https://shahbudindotcom.net

.