PERLANTIKAN NAJIB MENGESAHKAN BN TOLAK PEMBAHARUAN

Perlantikan Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN nampaknya hanya menyebabkan perpecahan, kecelaruan dan keadaan yang tidak menyenangkan dalam gabungan pembangkang itu.

Kepercayaan dan keyakinan Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN bahawa perlantikan itu mungkin membawa kebaikan berikutan populariti Najib di media sosial, boleh dikata meleset setakat ini.

Dua pemimpin UMNO, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin adalah antara yang secara terbuka menentang perlantikan itu.

Kata Nazri, oleh kerana Najib yang menyebabkan BN kalah dan hilang kuasa dalam PRU14 lalu, adalah sukar untuk meyakini bekas Perdana Menteri itu mampu memberikan nasihat yang boleh diterima pakai bagi mengembalikan BN ke persada kuasa semula.

Khairy Jamaluddin pula menyatakan beliau tiba-tiba berasa tidak gembira dengan perlantikan Najib itu.

Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dalam masa yang sama berharap dengan perlantikan Najib itu, budaya “warlords” tidak akan muncul semula di dalam UMNO.

“Mungkin kumpulan “warlords” akan muncul kembali mengatasi kumpulan pembaharuan dalam UMNO,” katanya.

Tidak mustahil sebenarnya mereka yang tidak setuju dengan perlantikan Najib ini makin membesar hari demi hari. Cumanya, ada yang berani bersuara dan ada yang memilih berdiam diri.

Secara logiknya, oleh kerana BN hilang kuasa ketika ditangan Najib, adalah sesuatu yang kelakar dan tidak masuk akal untuk melantik bekas Perdana Menteri itu memainkan peranan dalam usaha untuk mengembalikan gabungan itu kembali berkuasa.

Idea dan corak pemikiran Najib malah mungkin masih terkepung dalam pemikiran lama yang sudah ditolak rakyat sebelum ini, sedangkan rakyat lebih mahukan pembaharuan.

Lagi pun, populariti Najib di media sosial tidak sama dengan peranannya untuk menasihatkan BN agar dapat kembali berkuasa semula.

Ia adalah dua perkara yang berbeza. Bahkan, perlantikan Najib itu hanya mengesahkan BN masih tidak berubah, meskipun sudah kalah dan ditolak rakyat.

Keyakinan orangramai ialah dengan perlantikan itu Najib kini seolah-olah dipersetujui semula oleh Zahid Hamidi dan BN untuk dijadikan Perdana Menteri kembali sekiranya gabungan itu mampu menang semula dalam PRU akan datang.

Soalnya, apakah rakyat mahu kembali memilih BN semula untuk berkuasa jika dengannya akan menyebabkan bukan saja Najib, malah Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz dan lain-lainnya akan turut memainkan bangkit semula dalam politik serta ekonomi negara?

Tidakkah rakyat menolak BN dalam PRU lalu antaranya ialah kerana tidak mahu campurtangan mereka itu dalam pentadbiran kerajaan?

Seperkara lagi, berikutan Najib dan Zahid Hamidi sedang berdepan banyak kes mahkamah dan ramai yang percaya hukuman penjara sedang menanti kedua-duanya berikutan kes yang sedang dihadapi sekarang adalah mudah dan jelas, meletakkan kedua-duanya dengan peranan penting bagi menghadapi PRU akan datang tidak akan menyumbang sebarang makna.

Selain imej mereka yang sudah tercalar dengan pelbagai laporan media berhubung kes yang sedang dihadapi, persoalan lain ialah apa jadi jika dalam waktu terdekat ini Najib dan Zahid Hamidi dijatuhkan hukuman bersalah?

Bukankah ia akan menyebabkan imej BN terus merudum lagi di mata rakyat?

Jika didapati bersalah, meskipun mungkin hukuman boleh ditangguhkan sementara menunggu rayuan, tetapi ia dengan sendirinya menyebabkan kelayakan kedua-duanya sebagai Ahli Parlimen akan terlucut serta tidak boleh lagi bertanding dalam PRU yang seterusnya?

Maka, siapakah pula yang mahu BN tonjolkan sebagai bakal pemimpin mereka untuk menerajui negara?

Dalam hal ini, tidakkah lebih baik jika daripada sekarang lagi BN sudah mula mengorak langkah ke arah pembaharuan dan menonjolkan muka-muka baru yang boleh diterima ramai sebagai bakal menerajui negara ini?

Percayalah, meskipun Najib kembali popular di media sosial, tetapi untuk meletakkannya kembali berkuasa akan menyebabkan rakyat berfikir lima enam kali mengenainya.

– https://shahbudindotcom.net

.