TUN MAHATHIR ADALAH UMPAMA SUAMI YANG SUDAH ADA EMPAT ISTERI….

Ikut logik akal, tiada keperluan sama sekali sebetulnya untuk Tun Mahathir Mohamad mempelawa UMNO untuk untuk bergabung atau menyertai Bersatu.

Ini kerana kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan Bersatu dalam PH boleh dikira sudah stabil dan tiada apa-apa masalah.

Tiga parti lain dalam PH – PKR, DAP dan Amanah, sejak awal sudah dapat menerima Bersatu sebagai rakan kongsi yang tidak berbeza berbanding lain-lain parti.

Lebih daripada itu, walaupun Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen saja dalam PRU14 lalu berbanding PKR 47, DAP 42 dan Amanah 11, janji untuk meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak pernah sama sekali cuba dimungkiri.

Sebelumnya pula, walaupun Bersatu adalah parti baru dalam PH, tetapi ia telah diberikan jumlah kerusi paling banyak untuk ditandingi di Semenanjung iaitu 52, manakala PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.

Setelah menjadi kerajaan pula, meski berbekal 13 kerusi Parlimen tadi, selain jawatan Perdana Menteri untuk Tun Mahathir tidak dimungkiri, jumlah jawatan dalam kabinet kepada Bersatu juga tidak pernah langsung didesak untuk dikurangkan atau dilebihkan kepada PKR dan DAP yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen lebih banyak daripada parti itu.

Rumahtangga PH, sebelum dan selepas PRU14, boleh dikira aman damai dan bahagia seadanya.

Kalau mahu dijadikan perumpamaan, kedudukan Tun Mahathir dalam PH adalah umpama seoorang lelaki yang sudah punya empat isteri dengan masing-masing telah disediakan rumah dan wang belanja yang sewajarnya untuk menjalani kehidupan seharian.

Gaduh sikit-sikit di sana sini atau sesekali bertengkar boleh dikata adat dan perkara biasa yang tidak boleh dielakkan dalam kehidupan.

Yang penting, sebagai lelaki yang sudah ada empat isteri dan tidak boleh menambah kouta lagi, tugas suami sepatutnya hanyalah menumpukan sepenuh perhatian kepada isteri-isteri yang sedia ada saja.

Tidak beretika dari segi agama mahu pun moral jika suami yang sudah ada empat isteri masih cuba menggatal atau mengorat perempuan lain di sana sini.

Ini kerana tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi kerana kouta sudah pun penuh. Jika mahu berkahwin lagi sudah tentu perempuan berkenaan akan meletakkan syarat agar menceraikan salah seorang daripada empat isteri sedia ada itu.

Menyedari hakikat itu, suami yang bertanggungjawab dan merasakan sudah memadai dengan ada empat isteri pastinya akan mengawal dirinya daripada mencari perempuan yang lain.

Kalau cuba-cuba juga mengorat, memang sengaja cari masalah atau menjemput bala namanya.

Ia sama ada berakhir dengan wanita baru itu akan mendesak diceraikan salah seorang daripada empat isterinya yang sedia ada atau suami itu sendiri memang ada niat mahu menceraikan salah seorang isterinya.

Selain itu, rumahtangga tentunya akan berantakan jadinya apabila diketahui si suami cuba memikat wanita yang lain.

Isunya, kalau sudah ada cukup empat isteri, untuk apa mahu menggatal lagi?

Menggatal pula dengan janda lama yang sudah lama diceraikan sebelumnya.

Apabila UMNO meletakkan syarat agar tinggalkan DAP sebelum parti itu sedia bersama dengan Bersatu, itu bukanlah salah UMNO sebenarnya.

Itu memang watak semulajadi perempuan yang cuba diajak kahwin oleh lelaki yang sudah ada empat isteri.

Yang salah ialah suami yang cuba-cuba menggatal dan tidak pernah puas hati dengan apa yang sudah dimiliki.

Bukankah lebih baik suami tadi jaga saja baik-baik rumahtangganya dan isteri-isteri sedia ada itu.

– https://shahbudindotcom.net

.