ADA APA-APA KE TUN DAIM DI RUMAH TERBUKA AZMIN?

Tun Daim Zainuddin, sebagaimana mereka yang rapat dengannya sedia maklum, bukanlah seorang yang suka hadir pada majlis-majlis keramaian.

Baik majlis jamuan hari raya, rumah terbuka, kenduri kahwin atau sebagainya dan sama ada majlis itu diadakan di hotel atau kediaman, beliau memang tidak suka menghadirkan diri.

Malah dikatakan kalau majlis di istana pun beliau sedaya upaya tidak mahu menghadirinya, kecuali jika benar-benar tidak dapat dielakkan.

Tun Daim diberitakan tidak suka menghadiri majlis-majlis keramaian seumpama itu kerana tidak suka dengan kesesakan, rimas dengan suasana yang serabut, menyusahkannya untuk datang dan membuatkan menunggu lama ketika mahu pulang kemudiannya.

Sebab itu, di majlis jamuan hari raya yang diadakan Tun Mahathir Mohamad di Seri Perdana sekali pun, bayang kehadiran Tun Daim tidak pernah kelihatan.

Jika majlis Tun Mahathir pun beliau tidak hadir, sudah tentulah majlis-majlis anjuran TPM atau menteri-menteri lain juga tidak mungkin ternampak kehadirannya.

Bahkan majlis kenduri kahwin mereka yang rapat dengannya pun biasanya Tun Daim tidak hadir sama.

Tetapi, mereka yang faham dengannya sama sekali tidak kecil hati jika bellau tidak hadir, meskipun mereka yang rapat dengannya itu selalu minum-minum kopi serta gelak ketawa bersamanya.

Sebenarnya, itulah Tun Daim.

Namun, agak menghairankan apabila beliau dilihat hadir di

Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali di Putrajaya, malam semalam.

Kenapa Tun Daim hadir?

Bukankah beliau seorang yang tidak suka dengan kesesakan, rimas dengan suasana serabut dan menyulitkan ketika datang serta mahu pulang?

Apa istimewanya Azmin di hati Tun Daim?

Selepas jamuan pada malam semalam, Azmin terus berlepas ke luar negara iaitu Vienna untuk lawatan rasmi, tetapi di dalam negara pihak polis masih lagi menyiasat isu video seks sejenis yang didakwa melibatkannya.

Di sebalik Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui beliau adalah lelaki dalam video itu dan mendakwa pasangannya adalah Azmin, pihak polis masih lagi menyiasat kes tersebut.

Siasatan polis difahamkan tertumpu untuk menentukan kesahihan video itu serta pelaku-pelaku yang sebenarnya.

Maka, ada apa-apa ke dengan hadirnya Tun Daim di rumah terbuka Azmin itu?

– https://shahbudindotcom.net

.