ZAHID HAMIDI BERDEPAN TUGAS BERAT

Blog ini pada 23 Jun lalu ada menulis tentang Zahid Hamidi yang diberitakan akan menamatkan tempoh cutinya tidak lama lagi.

Melihat kepada perkembangan politik semasa dalam negara, Zahid Hamidi dikatakan menilai tempoh enam bulan bercuti sudah memadai baginya dan beliau perlu kembali semula sebagai Presiden UMNO dengan kadar yang segera.

Hari ini, 30 Jun iaitu seminggu selepas artikel itu ditulis, Zahid Hamidi secara rasmi mengumumkan tempoh cutinya telah berakhir.

Beliau kini kembali sebagai Presiden UMNO dan Mohamad Hassan yang selama ini memangku jawatan tersebut turut kembali kepada jawatan asalnya iaiu Timbalan Presiden UMNO.

Mengumumkan tempoh berakhirnya cuti beliau pada Majlis Sambutan Hari Raya di Bagan Datuk, Zahid Hamidi berkata, beliau sebelum ini dipilih dan bukan dilantik memegang jawatan itu.

Dalam erti kata lain, walaupun sekarang ini berdepan dengan 87 pertuduhan di mahkamah, Zahid Hamidi mahu menghabiskan tempoh perkhidmatannya sehingga penggalnya berakhir pada tahun 2021 akan datang.

Tidak mustahil jika pada pemilihan tahun 2021 akan datang beliau belum lagi disabitkan bersalah oleh mahkamah, Zahid Hamidi ketika itu mungkin akan terus menawarkan diri mempertahankan jawatannya.

Hanya jika didapati bersalah dan tidak dibenarkan bertanding saja rasanya barulah beliau tidak lagi akan menawarkan diri.

Kata Zahid Hamidi lagi ketika mengumumkan cutinya telah berakhir, sama ada berdepan 87 atau 870 pertuduhan sekali pun, beliau akan terus berjuang dengan keupayaan yang ada pada dirinya.

Cuma, dengan bekalan 87 pertuduhan mahkamah dan menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO pada waktu yang sama, ia bukanlah suatu tugas mudah bagi Zahid Hamidi.

Apa lagi jika perbicaraan kesnya berjalan tidak lama lagi dan banyak fakta berkaitan kes yang dihadapinya terdedah kepada umum dan menjadi perbualan dalam masyarakat.

Ketika itu, manpukah beliau menjalankan tugasnya memulihkan semula UMNO yang sudah kehilangan kuasa agar terus diyakini ramai?

Atau mungkinkah akan timbul sekali lagi desakan yang memintanya berundur dan meletakkan jawatan?

Ini kerana sebagaimana yang kita sedia maklum, mereka dalam UMNO yang tidak sebulu dengan Zahid Hamidi akan terus mencari isu untuk mengenepikannya.

Sekarang ini pun, sebaik beliau mengumumkan cutinya telah berakhir, tetap kedengaran suara-suara yang tidak bersetuju dengannya.

Ada yang mengatakan tidak akan banyak perubahan kepada UMNO selepas ini dan lebih baik beliau terus menyambung lagi cutinya.

Mereka mengatakan UMNO di bawah kendalian Mohamad Hassan sebagai Pemangku Presiden adalah lebih baik, lebih diterima dan diyakini ramai.

Tetapi, sebagaimana yang Zahid Hamidi sendiri sebut bahawa beliau adalah dipilih, bukannya dilantik sebagai Presiden UMNO, maka adalah haknya untuk kembali menjalankan tugasnya itu.

Segala-galanya terpulang kepada Zahid Hamidi untuk membuktikan beliau selepas bercuti ini lebih bagus daripada sebelumnya.

– https://shahbudindotcom.net

.