ANJAKAN BESAR KE ARAH PENUBUHAN MAJLIS MEDIA MALAYSIA

Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

Konsultasi pelbagai pihak bagi menubuhkan Majlis Media

 PENUBUHAN Majlis Media Malaysia sebagai instrumen pengaturan sendiri (self-regulation) mendapat anjakan besar pada 21 Jun lepas setelah dibangkitkan buat kali pertamanya 45 tahun lalu.

Kali ini, usaha menubuhkan majlis tersebut menjadi lebih realistik dan mendesak kerana ia adalah sebahagian daripada aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mencapai matlamat kebebasan dan kebertanggungjawaban media.

Konsultasi yang melibatkan wakil organisasi berkaitan media massa, persatuan wartawan, akademik kewartawanan dan wakil kerajaan dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Pejabat Peguam Negara itu diadakan di KKMM, Putrajaya.

[Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Menteri KKMM, Gobind Singh Deo, dalam kenyataannya selepas konsultasi itu, antara lain berkata:

“Kami mengadakan perbincangan hampir dua jam. Kami mencapai persefahaman bahawa majlis tersebut perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan rang undang-undang yang dicadangkan akan digubal dengan tumpuan pada masa ini kepada lima bidang utama.”

Lima bidang tersebut adalah (1) Objektif dan fungsi majlis, (2) Perlembagaan dan keahlian, (3) Kod tatalaku, (4) Kaedah penyelesaian pertikaian, dan (5) Peruntukan umum termasuk mengkaji undang-undang semasa yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila majlis itu dibentuk.

Saya hanya bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara di antara industri dan pengamal media dengan pihak kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara tugas saya sebagai Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri adalah membantu penubuhan Majlis Media Malaysia.

Menurut Datuk Dr Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), yang hadir konsultasi itu, idea Majlis Media ini dicetuskan seawal tahun 1974 oleh Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein.

Tetapi kita semua tahu bahawa walaupun banyak percubaan dibuat tetapi tidak berjaya kerana kerajaan dahulu tidak bersedia memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengongkong kebebasan media.

Terpenting adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Sebagai bukti kesungguhannya, kerajaan PH telah membentangkan rang undang-undang pemansuhan Akta Berita Palsu dan memberi komitmen memansuhkan Akta Mesin cetak dan Penerbitan serta memansuhkan atau meminda undang-undang lain yang menghalang kebebasan bersuara.

Yang hadir dalam konsultasi itu adalah pengarang dan pemilik media, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Pusat untuk Kewartawanan Bebas (Centre for Independent Journalism (CIJ)), Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), Sabah Journalists Association, Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak, Journalism Academics & Eminent Journalists Group, National Press Club (NPC) dan Foreign Correspondence Club.

Kita menerima serahan, cadangan dan komen daripada banyak pihak – antaranya pengarang dan pemilik media (cetak dan atas talian), kumpulan akademik kewartawanan, wartawan veteran, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gabungan Wartawan (Journalism Alliance) yang terdiri daripada NUJ, Institute of Jounalists  (IoJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Sabah Journalist Association (SJA), Federation of Sarawak Journalists Association (FSJA), Kuching Division Journalist Association (KDJA) dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM).

Jadi kita bolehlah anggap jumlah dan skop cadangan yang diterima sebagai memuaskan dan memadai sebagai asas rujukan oleh Jabatan Peguam Negara yang bertanggungjawab merangkan rang undang-undang yang diperlukan bagi mewujudkan Majlis Media yang disokong oleh undang-undang negara.

Apa yang kita alami ini mungkin hikmah di sebalik hakikat bahawa kita adalah antara negara terakhir atau terkebelakang di dunia membentuk Majlis Media. Kita mempunyai banyak contoh dan pengalaman luar untuk memandu kita.

Jadi marilah sama-sama kita berpakat dan bermuafakat membentuk Majlis Media Malaysia yang unggul, konstruktif dan praktikal.

Kesimpulannya, kita telah bersetuju menerima cadangan menubuhkan Majlis Media Malaysia.

Majlis itu akan diberi “legal standing” melalui Akta Parlimen yang akan dirangka oleh Jabatan Peguam Negara dengan mengambil kira cadangan yang kita kemukakan.

Matlamat kita ialah supaya Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia dapat dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini dan Majlis Media ditubuhkan tidak lama selepas itu.

– https://kadirjasin.blogspot.com

.