KENAPA TUN MAHATHIR TAK PERNAH BANGUN DARIPADA KERUSINYA SETIAP KALI ANWAR DATANG BERJUMPANYA?

Sebagai bakal Perdana Menteri, rasanya tidak kurang enam atau tujuh kali Anwar Ibrahim sudah mengadakan pertemuan rutin secara bulanan dengan Tun Mahathir Mohamad.

Terbaru, pertemuan antara mereka berdua berlangsung semalam sebelum Tun Mahathir bertolak ke Bangkok untuk lawatan rasmi empat hari.

Dalam semua pertemuan itu ia hanya melibatkan mereka berdua saja untuk Anwar melaporkan apa-apa perkara dan berbincang mengenai sesuatu isu yang melibatkan parti dan juga negara.

Selain itu, pertemuan rutin tersebut juga diinisiatifkan oleh Anwar adalah untuk menunjukkan hubungannya yang sentiasa baik dengan Perdana Menteri serta bertujuan mengelakkan wujudnya “hantu-hantu raya” selalu bergentayangan mereka-reka cerita merenggangkan hubungan mereka berdua.

Bagi yang prihatin dan cakna, malah mungkin sedikit nakal, mereka mengatakan ternampak ada sedikit pelik dalam setiap gambar mengenai pertemuan selama ini kerana Tun Mahathir dilihat tidak pernah bangun daripada kerusinya ketika menyambut ketibaan atau sewaktu bersalaman dengan Anwar.

Selain mereka mengatakan gaya Tun Mahathir itu menunjukkan lagak keangkuhannya, ia juga dilihat seperti pertemuan antara seorang “boss” dengan orang bawahannya.

Dengan kedudukan Anwar sebagai penggantinya, malah PKR mempunyai jumlah kerusi Parlimen paling banyak dalam PH, sebagai menunjukkan hubungan mesra, ditakrifkan sebaiknya Tun Mahathir sama-sama berdiri ketika bersalam dengan Anwar atau lebih cantik jika mengadakan perbincangan dengan mereka berdua duduk di atas sofa.

Ini kerana, walaupun Tun Mahathir adalah Perdana Menteri dan Anwar tiada apa-apa jawatan, mereka berdua sebenarnya adalah “partner” untuk masa depan Malaysia.

Tun Mahathir dan Anwar bukan seperti “boss” dengan pekerja bawahannya atau boleh disamakan sebagaimana ketika mereka dalam UMNO dahulu.

Ia sudah jauh berbeza ketika ini. Kalau mahu diumpama seperti dalam sebuah syarikat, meskipun Tun Mahathir adalah pengerusi, tetapi Anwar adalah pemegang saham majoriti.

Untuk itu, kedua-duanya mesti dilihat sentiasa berganding mesra dan perasaan “aku boss” tidak harus ditunjukkan oleh sesiapa pun jua dalam menuju masa depan yang berkembang maju.

Apabila terus duduk di kerusinya dan bercakap di atas meja kerja, Tun Mahathir seolah-olah memberi isyarat dianya adalah “boss”, di samping dilihat bagai belum sedia melepaskan kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya untuk diserahkan kepada bakal penggantinya itu.

Begitulah tanggapan banyak pihak setakat ini berkenaan beberapa pertemuan rutin bulanan yang berlaku antara kedua pemimpin itu.

Malah, ada yang mengatakan, selagi Tun Mahathir terus duduk di kerusi di hadapan meja kerjanya menyambut Anwar, selagi itulah peralihan kuasa yang dijanjikan seperti belum terjamin akan menjadi kenyataan.

Seorang bekas pesara kerajaan pula berkata, beliau berasa ngeri mengenai peralihan kuasa yang dijanjikan itu setiap kali melihat gambar pertemuan Tun Mahathir – Anwar.

Bagaimanapun, di pihak lain tidak kurang yang menerima dengan sangkaan baik tentang pertemuan demi pertemuan antara Anwar dan Tun Mahathir itu.

Kata mereka, Tun Mahathir sebenarnya tetap menghormati dan menerima baik Anwar kerana boleh dikata setiap bulan, di sebalik kesibukan tugas hariannya, beliau sentiasa meluangkan masa menerima kunjungan bakal penggantinya.

Kalau Tun Mahathir ada niat lain, beliau boleh saja mengelak untuk bertemu secara kerap dengan menggunakan alasan sibuk, tambahan mereka juga kerap bertemu di mesyuarat bulanan PH atau majlis-majlis yang lain.

Dengan itu, ujar mereka, janganlah bersangka tidak baik terhadap Tun Mahathir.

Lagi pula, tambah mereka lagi, Tun Mahathir sekarang telah berusia 94 tahun dan tentulah tenaganya sudah banyak berkurangan untuk bergerak atau bangun selalu daripada kerusinya.

Jadi, janganlah dijadikan isu atau Anwar mudah terasa hari dengan perkara itu kerana Tun Mahathir mungkin tiada maksud apa-apa di sebalik semua tindakannya itu, tegas mereka seterusnya.

Bagaimana pula pendapat pembaca semua?

– https://shahbudindotcom.net

.