TIDAK MASUK AKAL MENGAITKAN ANWAR DALANG DALAM VIDEO AZMIN

Sejak awal apabila video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin Ali tersebar, persoalan utama yang bermain di kepala ramai orang ialah siapakah dalang di sebaliknya?

Apatah lagi apabila kemudian Haziq Abdullah Abdul Aziz, dengan tenang, selamba dan seperti membaca pengumuman melihat anak bulan puasa, mengakui beliau adalah lelaki dalam video terbabit sambil mendakwa Azmin adalah pasangan sejenisnya.

Selain itu, beliau juga meminta SPRM menyiasat Azmin yang didakwanya tidak layak menjadi pemimpin.

Sambil ramai yang bingung bagaimana Haziq boleh mengaitkan hubungan seks sejenis dengan siasatan SPRM, yang lainnya turut hairan macam mana lelaki semuda beliau ada kekuatan untuk mengakui penglibatannya dalam dunia paling jijik itu secara terbuka.

Kemudian Haziq juga mendedahkan lagi hubungan seks sejenisnya dengan Azmin bukanlah pertama kali berlaku di Sandakan, tetapi turut berlaku di Kuching dan KL sejak tiga tahun lalu.

Sekali lagi, ramai yang bertanya, jika tiada “seseorang” atau pihak yang benar-benar kuat dan kukuh di belakangnya, mana mungkin beliau mampu seberani itu tampil di depan umum dengan pengakuannya itu.

Secara logiknya, dengan jawatan sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Samsul Iskandar Md Akin dan Azmin pula merupakan menteri kanan, jika pun benar mereka berdua merupakan pasangan kekasih dan ada hubungan seks, menyimpan rapi hubungan itu jauh lebih bermanfaat dan menjamin masa depannya.

Tiada untungnya beliau tampil membuat pengakuan mengenai penglibatannya kerana selain jawatannya sudah digantung dan mungkin dibuang kerja, beliau turut berdepan kemungkinan didakwa di mahkamah serta dipenjarakan selepas ini.

Tetapi, jika ada “dalang besar” di belakangnya yang menjanjikan habuan lebih lumayan, mungkin segala-galanya tidak mustahil untuk seseorang itu berkorban seketika sementara laba lebih lumayan jatuh ke riba kemudiannya.

Dalam hal ini, oleh kerana Azmin dilihat sebagai saingan kepada Anwar Ibrahim dan dikatakan lebih berada di hati Tun Mahathir Mohamad untuk dijadikan Perdana Menteri ke-8, walaupun dalam masa yang sama terikat dengan janji untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan sendirinya terdedah kepada dakwaan sebagai dalang di sebalik video tersebut.

Namun demikian, ikut hukum akal dan melihat kepada Anwar sendiri pernah terpalit dengan fitnah liwat sebanyak dua kali, tentulah tidak mungkin beliau menggunakan kaedah yang sama untuk memalukan Azmin yang merupakan anak didik dan mempunyai hubungan bagai keluarga dengannya.

Mustahil Anwar sekejam dan sezalim itu dalam memburu cita-cita politiknya, malah dalam rekodnya sejak bersama UMNO lagi, beliau tidak pernah sama sekali menggunakan apa-apa taktik kotor dan jijik untuk menyerang dan menjatuhkan lawannya.

Tetapi, sudah tentu mereka yang pernah merekayasa fitnah seumpama itu, lebih mungkin atau mudah untuk mengulanginya sekali lagi.

Lagi pula, walaupun Azmin dikatakan saingan kepada Anwar untuk dijadikan Perdana Menteri ke-8, Presiden PKR itu tetap ada kelebihan kerana persetujuan dan konsensus PH untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya sudah terpatri dengan kukuh.

Selain Tun Mahathir sendiri sudah banyak kali mengulangi janji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, PKR, DAP, Amanah dan Bersatu juga masih berpegang teguh kepada janji itu.

Anwar hanya perlu bersabar dan menunggu detik waktu untuknya tiba menjadi Perdana Menteri dan tiada keperluan untuk menggunakan taktik kotor seperti penyebaran video dan sebagainya.

Lebih daripada itu, sebagai Presiden PKR dan Azmin adalah timbalannya, lebih tidak masuk akal untuk mengatakan Anwar terlibat dalam taktik kotor sebegini kerana ia akan memalu serta meruntuhkan parti itu sendiri dari segi kepercayaan umum.

Sebagai parti dominan dalam PH, kalau pun Anwar itu terlalu jahat dan rakus, lebih munasabah untuk beliau melakukan sesuatu yang boleh memusnahkan Bersatu daripada menghancurkan partinya sendiri.

Dalam pada itu, persoalan paling besar ialah bagaimana video itu dirakam dan disebarkan kerana Anwar tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan yang memberinya kelebihan melakukan perkara jahat seperti itu.

Ikut logik akal juga, tentulah mereka yang ada kuasa dan tahu pergerakan Azmin yang boleh memasang alat rakaman di bilik hotel penginapannya. Jika tidak, bagaimana mereka tahu di bilik mana Azmin menginap.

Biasanya kerja-kerja sebegini hanya mungkin dilakukan oleh pengintip upahan, tetapi tentulah lebih mudah kalau ada penglibatan polis cawangan khas atau SB.

Kalau Anwar mengupah pengintip upahan misalnya, risiko untuk perkara itu terdedah adalah lebih tinggi berbanding jika SB yang melakukannya.

Tetapi, jika SB yang melakukannya, siapakah yang ada kuasa memberi arahan seperti itu?

Adakah ia Anwar?

Walaupun Haziq dalam pengakuannya turut mendedahkan Azmin sebagai lelaki yang sakit kerana memasang alat rakaman aksi seksnya sebagai koleksi peribadi, persoalan lain ialah bagaimana video itu boleh tersebar?

Sangat tidak mungkin Azmin dengan sengaja menyebarkan video itu dengan tujuan untuk menarik simpati atau “mengenakan” Anwar misalnya.

Sekali lagi, apa yang paling mungkin ialah rakaman itu mesti dilakukan oleh pihak lain yang bertujuan bukan saja untuk memecahkan hubungan Anwar dengan Azmi, tetapi juga menjadikan Tun Mahathir terus dominan sebagai Perdana Menteri.

Tidak mustahil, matlamat lebih besar di sebalik video ini ialah untuk menghancurkan PKR itu sendiri.

Logikkah kalau mahu dikata Anwar melakukan semua itu?

– https://shahbudindotcom.net

.