KES VIDEO LUCAH BERBEZA DENGAN KES KEMATIAN ORANG ASLI

KETIKA kita masih menunggu apakah hasil siasatan dan kajian untuk mengetahui punca sebenar menyebabkan 14 Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh meninggal, kita rakyat Malaysia dihidang pula dengan satu lagi kemisterian, dengan munculnya klik video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan.
Walaupun segala tindakan menyiasat, dan ada arahan diperingkat Kabinet untuk mengenal pasti punca kematian Orang Asli itu, tetapi sehingga kini belum ada kepastian.

Maklumat dan pernyataan yang diberikan setakat kini, hasil bedah siasat ke atas dua mayat yang meninggal didapat mereka mati kerana jangkitan virus sekundar atau mikroorganisme.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Dzulkifly Ahmad, ada kemungkinan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh itu meninggalkan kerana masalah kekurangan makanan dan zat. Selain itu beliau tidak menolak kemungkinan disebabkan merebaknya varius haiwan tertentu seperti virus ebola dan sebagainya.

Arahan juga agar dibuat kajian ke atas air, tanah dan juga mayat. Maka usaha mencari mayat-mayat Orang Asli yang mati dan kebumikan secara adat dilakukan. Hasilnya pencarian mayat-mayat itu melalui jalan sukar disebabkan mereka dikebumikan jauh ke dalam hutan.

Dalam pada itu ada juga berpendapat dan membuat tuduhan punca kematian itu disebabkan pencemaran sungai (air) kerana aktiviti perlombongan haram. Tuduhan ini lebih bersifat politik kerana ia cuba dikaitkan dengan kelemahan pengurusan dan pentadbiran alam sekitar oleh kerajaan negeri Kelantan.

Bagaimana pun kedudukan sebuah lombong yang beroperasi secara haram kerana lesennya ditamatkan sejak 2017 menjadi hujah kuat untuk mengatakan punca pencemaran air yang boleh memberi kesan kepada kesihatan penduduk Orang Asli adalah dari lombong berkenaan. Lombong Meggeniest itu sendiri dilingkupi kemisterian macam mana ia dibenarkan beroperasi.

Yang pastinya sehingga kini kematian 14 Orang Asli itu masih menjadi misteri dan belum terjawab.

Video Lucah. 
Dalam kaburan tanda tanya itu timbul pula isu penyebaran video lucah. Walaupun video ini tidak membabitkan nyawa manusia, tetapi ia menyentuh maruah seseorang. Ia juga memberi kesan kepada pentadbiran (kerajaan) hari ini kerana ia mengaitkan menteri kanan. Isu video ini dari konteks politiknya ia lebih merbahaya daripada isu di Kuala Koh.

Cabaran buat Dr Mahathir sendiri bukan kerana pelantikan Latheffa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bertentangan dengan aspirasi PH, tetapi menghadapi video lucah yang membabitkan menteri yang disayanginya(?) ini lebih mencabar dan memalukan.

Ada persamaan dan ada perbezaan di antara isu Orang Asli dengan isu video lucah itu. Isu video lucah dilihat lebih mudah untuk dihuraikan. Dalam kes Orang Asli tidak ada pengakuan dibuat, oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu termasuk pihak perlombongan. Dalam kes video lucah ada orang yang tampil mengakui dia sendiri terlibat dalam adegan lucah seperti dipaparkan dalam video berkenaan.

Orang yang mengakui bernama Muhamad Haziq Abdul Aziz yang kini memegang jawatan sebagai Setia Usaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Perindustrian Utama, Shamsul Mohd Akin. Kedudukan itu jelas dan bukan sesuatu yang menragukan.

Sementara menteri yang dikatakan mukanya mirip dengan watak dalam video itu telah bersuara. Penyuaraan itu secara tidak langsung mengesahkan dirinya yang dikaitkan. Beliau ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali. Bagaimana pun Azmin menafi sekeras-kerasnya watak itu adalah dirinya. Beliau mengecam penyebaran itu sebagai komplot jahat untuk merosakkan reputasinya.

Sebelum Azmin tampil membuat kenyataan yang dilihat ayatnya disusun kemas dan rapi, beberapa pemimpin lain yang “setandang” dengan bekas MB Selangor itu tampil membuat komen dan mengecam penyebaran video berkenaan.

Antaranya ialah Zuraidah Kamaruddin yang menganggap video itu palsu dan satu konspirasi untuk membunuh karier politik menteri terbabit dalam video berkenaan. Perkataan dan termalogi “konspirasi” nampaknya sekali lagi digunakan dengan mudah dalam kes kali ini.

Kemudian ia turut dilakukan sama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menyatakan keterkejutan kerana permainan video lucah masih diteruskan. Kata Anwar beliau tidak sangka masih ada video lucah setelah beliau pernah menjadi mangsa sebelum ini.

“Sudah tentu saya sangka apa yang saya alami (sebelum ini) patut menjadi yang terakhir, tetapi malangnya trend ini seolah-olah berterusan dan ia amat menyedihkan, memualkan dan saya tidak faham mengapa ini harus terus berlaku,” katanya dipetik.

Dalam pada itu Anwar menolak penyebaran video lucah itu adalah perbuatan dalaman, maksudnya ia bukan dari kalangan anggota PKR. Anwar membuat penafian itu mungkin bimbang ia dianggap satu startegi digerakkan oleh ahli PKR sendiri yang setengah kurang senang dengan sikap dan gelagat Azmin yang kadang kala kelihatan angkuh dan sombong dimana cuba melangkaui Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Biro Politik PKR juga yang bersidang turut membincangkan isu berkenaan tetapi tidak mengeluar sebarang kenyataan konkrit dan ia dilihat berhati-hati untuk membuat keputusan. Yang anehnya, biro itu tidak menyentuh langsung kedudukan Haziq sebagai ahli PKR dengan apa yang dilakukan, mengakui yang dialah berada di atas ranjang dalam video itu.

Mahathir tidak percaya.


Kenyataan yang dinanti untuk mengulas isu video itu ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Diawal beliau ditanya mengenai hal itu pada hari pertama disebarkan, Mahathir berhelah mengatakan beliau belum tengok lagi dan meminta agar ada pihak yang menjelaskan kepadanya.Dan semalam Mahathir memberi tahu dia tidak percaya dengan video berkenaan sebagai tulen kerana dengan kecangihan dunia IT dan kepandaian manusia ia boleh lakukan apa sahaja.Sinisnya mungkin sedikit hari lagi akan keluar gambar video lucah mengenai dirinya. (Saya fikir tidak mungkin ada).

Kenyataan Dr Mahathir itu dilihat masih lagi awal dan beliau tentu tidak mendapat maklumat secara terperinci mengenai video berkenaan. Walaupun ada orang membuat pengakuan mengenai video berkenaan, Dr Mahathir membayangkan rasa peliknya kenapa, orang berkenaan (Haziq) boleh membuat kenyataan begitu dimana seolah-olah ia berseronok dengan perbuatan tidak bermoral.

Beliau menyebut pengakuan Haziq itu disengajakan dan sesuatu yang memelikkan. Beliau sendiri tidak tahu kenapa sebabnya. Sebagai PM Dr Mahathir pasti tidak senang dengan apa yang berlaku tentu arahan dibuat untuk mendapat keterangan langsung dengan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) itu.
Sekiranya video itu didapati tulen kita dapat berasakan betapa kecewanya Perdana Menteri itu.

Semalam juga para penyokong Azmin, telah berkumpul di kedimanan MB Selangor Amiruddin Shari untuk mengadakan bacana yassin dan solat hajat tolak bala. Amiruddin Shari adalah kroni Azmin.

Dan pagi ini tindakan seterusnya akan diambil, satu laporan qazaf dibuat di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan, Puterajaya oleh Setiausaha Politik Azmin, Hilman Idham.

Segala tindakan undang-undang itu mungkin terangkul dalam apa dimaksudkan Azmin menerusi kenyataanya yang beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas penyebaran dan pelaku video berkenaan.

Sesuatu yang batil itu akan tenggelam apabila yang haq menjelma. Dalam hubungan ini tidak sukar untuk menentukan ketulenan video berkenaan. Ia lebih mudah berbanding dengan mencari punca kematian Orang Asli di Kuala Koh.

Tidak perlu kabinet membuat arahan dan ditubuhkan jawatankuasa khas. Tidak perlu juga video itu diuji kaji di makmal khusus untuk menentukan ketulinannya seperti mana dilakukan ke atas audio video Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengakui pemimpin Pas menerima duit daripada Umno.

Polis di Raja Malaysia (PDRM), boleh menguruskan isu video ini secara bersendirian sahaja. Ketua Polis Negara yang baru dilantik Abdul Hamid Bador yang dikatakan memiliki kepakaran dan ketegasan serta ketelusan mampu menanganinya. Mungkin kerja untuk membawa Jho Lhow boleh ditangguhkan dan tumpukan kepada isu video lucah ini dahulu.

Sebabnya, sudah ada orang tampil mengakui dia adalah salah seorang yang berada dalam video itu. Pengakuan Haziq Abdul Aziz adalah saksi utama dan penting dalam kes video lucah itu.

Dr Mahathir dan kita juga hairan kenapa Haziq membuat pengakuan seolah berbangga dengan perbuatan jahatnya. Itu soal lain, dan ia boleh dijawab oleh Haziq sendiri. Yang penting disini dia boleh dipanggil untuk menjelaskan situasi video berkenaan. Sekiranya dia berbohong dia boleh dihukum.

Perkara paling penting untuk diselidiki kenapa dia sukarela membuat pengakuan dimana perbuatan itu hampir sama dengan apa yang pernah dibuat oleh Pembacuh Kopi dalam kes melibatkan Anwar dahulu. Atau ada orang menjadi dalang disebaliknya?

Selepas diadakan laporan polis, PDRM boleh menangkapnya. Sekiranya tidak ada perundangan dalam undang-undang untuk menahaan seseorang yang membuat pengakauan (qazaf), Azmin hendaklah menyaman Haziq kerana kenyataanya telah menjejaskan dirinya sekaligus turut mencemar Kabinet kerana Azmin adalah menteri kanan yang dibanggakan. Mana-mana menteri kabinet juga boleh buat report polis.

Terbaik jika menerusi polis ada implikasi undang-undang, tangkap dan dakwa Haziq dibawah Mahkamah Syariah dengan tuduhan qazaf.

Kita yakin apabila Haziq ditangkap dan diminta beri keterangan isu video itu akan selesai. Ia tidak boleh dibiarkan lama kerana yang menanggung azab sangsaranya ialah Azmin Ali.

Penafian dan mengecam penyebaran video itu serta mengadakan tahlil dan solat hajat bukan jalan penyelesaian. Ia berlaku dalam dunia politik dimana semua orang sudah faham politik boleh melangkaui apa sahaja perkara termasuk diluar pemikiran umum. Begitu juga penyebaran video itu kemudian ada orang mengaku dirinya terlibat sesuatu yang diluar pemikiran umum. Makanya undang-undang dan persepsi politik juga boleh menuntaskannya.

Jangan takut untuk memburu Haziq dan mendengar sendiri pengakuannya. Pengakuannya nanti biarlah dibuat berlandaskan undang-undang dan tidak ada paksaan dan ugutan. Sekiranya pengakuan beliau itu dilihat perbuatan orang tidak waras, maka dia perlu uji dahulu pemikirannya. Peralatan dan kemudahan sains perubatan yang ada sekarang ini dapat menentukan apakah seseorang itu waras atau sebaliknya.
Kita yakin isu video lucah ini akan terjawab dalam masa terdekat kalau segala tindakan di atas diambil tindakan. Dan mereka terlibat dengan penyebaran, pelaku video berkenaan bersiap sedia untuk menerima kutukan dan hukum karma.

– http://msomelayu.blogspot.com

.