TUN MAHATHIR TIDAK PERNAH & TIDAK AKAN BERUBAH

Apabila Tun Mahathir Mohamad mengatakan keputusannya melantik Latheefa Koya sebagai KP SPRM adalah muktamad dan tidak berhasrat mengubah keputusan itu, satu hakikat yang nyata ialah beliau sebenarnya tidak pernah berubah sama sekali.

Antara dulu dengan sekarang dan antara menjadi Perdana Menteri di bawah BN dengan di bawah PH, watak dan perangai Tun Mahathir adalah sama saja.

Tun Mahathir hanya ada sedikit berubah kerana tidak mempunyai kuasa, tetapi sebaik kuasa dalam genggaman, beliau akan kembali menjadi “Mahathir yang sebenar”.

Ketika mula-mula menyertai PH di mana beliau pada waktu itu menunjukkan sikap sedia menerima agenda reformasi, malah sanggup berdamai dengan Anwar Ibrahim yang pernah dipecat, dimusuhi dan dipenjarakannya,semua itu sebetulnya tidak lebih suatu kepura-puraan untuk membolehkannya diterima sebagai calon Perdana Menteri semata-mata.

Di dalam hatinya, jauh sekali untuk menerima agenda reformasi PH itu.

Jika betul Tun M menerima agenda reformasi dengan jujur dan ikhlas, sudah tentu beliau akur dengan segala kandungan janji melakukan perubahan dalam institusi penting negara, termasuk tidak melakukan keputusan sendiri melantik orang politik mengetuai SPRM sebaik saja menjadi Perdana Menteri.

Kenapa ditangguh-tangguhkan agenda reformasi institusi seperti menghapuskan akta-akta drakonian, sedangkan tiada kos kewangan diperlukan untuk melaksanakannya seperti janji menghapuskan tol misalnya?

Dalam hal ini mustahil Tun Mahathir tidak sedar bahawa beliau sekarang adalah Perdana Menteri di bawah PH, bukan di bawah BN seperti dahulu.

Apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir sekarang adalah menunjukkan itulah sebenarnya watak dan hati perutnya yang sebenar.

Tun Mahathir tidak pernah dan tidak akan berubah. Sebagaimana wataknya berkuasa selama 22 tahun sebelum ini, itulah juga yang mahu dan akan dilakukannya sekarang.

Cuma, sesuatu yang Tun Mahathir mungkin lupa ialah partinya Bersatu hanya ada 13 kerusi Parlimen saja yang diberi kemenangan oleh pengundi dalam PRU14 lalu.

Termasuk 13 Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu, jumlahnya hanya ada 26, suatu jumlah yang masih kurang berbanding PKR yang ada 50 dan DAP yang ada 42 kerusi Parlimen.

Untuk itu, Tun Mahathir hanyalah umpama “Perdana Menteri setinggan” dalam PH, berbeza seperti dalam UMNO dahulu di mana parti itu sentiasa memiliki jumlah kerusi majoriti.

Maka, adalah penting bagi PKR, DAP dan Amanah agar sentiasa mengawal Tun Mahathir agar tidak berlebih-lebihan, terlalu rakus atau tersasar dengan kuasanya sehingga terlupa bahawa PH adalah berbeza dengan BN.

Harus diingat bahawa pengundi memilih PH kerana mahukan perbezaan berbanding era BN sebelum ini.

Apa gunanya rakyat mengundi PH jika Perdana Menterinya berperangai sama seperti Perdana Menteri di bawah BN juga?

PH dalam hal ini harus segera meletakkan titik noktah dengan memastikan tiada lagi janji yang mereka buat sendiri dilanggari sesuka hati melalui kuasa seorang Perdana Menteri.

Jika Perdana Menteri mahu mengengkari janji, beliau mesti diperingatkan bahawa ini adalah kerajaan PH dan ia berbeza dengan BN.

Mungkin juga Tun Mahathir berterusan menggunakan budi bicara dan kuasa sendiri dalam soal lantikan KP SPRM ini kerana pindaan undang-undang mengenainya belum dibuat lagi, tetapi bukankah lebih terpuji jika perubahan dan mematuhi janji manifesto lebih dulu dilakukan tanpa menunggu undang-undangnya dipinda?

Adakah ia sesuatu yang salah? Kenapa mesti akur dengan kaedah lantikan lama jika tidak menjadi kesalahan melakukan perubahan lebih awal?

-https://shahbudindotcom.net/

.