SEKALI LAGI TUN M BERJAYA KUCAR-KACIRKAN PKR

Sedar tak sedar, di sebalik perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, PKR sekali lagi jadi bergolak dan kucar-kacir dibuatnya.

Oleh kerana Latheefa adalah bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, dua kumpulan dalam parti itu telah berbeza pendapat mengenainya.

Satu kumpulan gembira dan menyokong perlantikan Latheefa, manakala satu lagi menyifatkannya tidak wajar serta bercanggah dengan janji manifesto PH.

Dengan itu, hanya kerana lantikan Latheefa yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad, PKR seakan-akan makin melebar perpecahannya.

Jika diteliti, ini adalah kali kedua PKR menjadi kucar-kacir dan bergolak yang diakibatkan oleh Tun Mahathir.

Kali pertama ialah ketika Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, meskipun namanya tidak pernah dicalonkan oleh PKR untuk menjadi menteri lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Dengan melantik Latheefa, Tun Mahathir seakan mahu pergolakan yang berlaku dalam PKR selepas beliau melantik Azmin dahulu berterusan lagi.

Tidak dinafikan, Latheefa memang dikenali sebagai pemimpin antara pemimpin PKR yang pro Azmin dalam pertembungannya dengan Rafizi Ramli mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, hujung tahun lalu.

Kenapakah Tun Mahathir suka sangat membuat PKR bergolak dan kucar-kacir?

Apakah ia bertujuan mengenepikan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 dan melorongkan laluan kepada Azmin untuk melonjak lebih tinggi?

Tetapi, oleh kerana PKR mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam PH, sedarkan Tun Mahathir tindakannya menyebabkan parti itu bergolak secara langsung akan melemahkan PH juga akhirnya?

Apa untungnya kepada beliau jika PKR sentiasa bergolak dan PH menjadi lemah?

Lebih daripada itu, apakah menjadikan PKR bergolak dan melemahkan PH itu merupakan tugas dan peranan Tun Mahathir selaku Pengerusi PH?

-https://shahbudindotcom.net

.