TUN, MASIH INGATKAH SIARAN MEDIA INI?

Semalam, ketika mempertahankan keputusannya melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tun Mahathir Mohamad berkata, ia adalah keputusan muktamadnya.

Katanya, perlantikan Latheefa sama seperti beliau melantik pegawai-pegawai lain sebelum ini.

“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik, ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai, itu saja.

“Keputusan ini (melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya U-turn,” kata Tun Mahathir lagi.

Makna kata, Tun Mahathir tidak sedia mengubah keputusan melantik Latheefa itu, walaupun dipertikaikan ramai kerana tidak mahu dianggap melakukan U-turn terhadap sesuatu perkara yang sudah dilakukannya.

Okay, mungkin alasan itu boleh diterima dan ada logiknya.

Tetapi, masihkah Tun Mahathir ingat berkenaan siaran medianya pada 13 Ogos 2018 iaitu menjelang 4 hari sebelum 100 hari PH berkuasa dahulu.

Siaran media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah atau JKKMAR di bawah tajuk “Usaha Memperkasakan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM” itu antara lain menyebut:-

⁃ Mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus – hendaklah atas pertimbangan Parliamentary Select Comittee (PSC) dan prestasi/kompetensi Ketua Pesuruhjaya turut dinilai oleh pihak stakeholhers luar.

⁃ Parliamentary Select Comittee (PSC) mengambil alih peranan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), badan bebas memantau SPRM peringkat Parlimen pada masa sekarang.

Sekarang macam mana?

Jika Tun Mahathir masih ingat siaran medianya itu, kenapakah beliau mengenepikan PSC dalam soal perlantikan Latheefa?

Mengapa Tun Mahathir masih menggunakan kuasa dan budi bicara sendiri, sedangkan sudah berjanji untuk menggunakan sama pertimbangan PSC dalam perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM?

Kenapa U-turn daripada keputusan yang sudah dipersetujui sebelum itu?

Sekali lagi, adakah Tun Mahathir sebenarnya masih ingat, sudah lupa atau buat-buat lupa tentang siaran media yang dibuatnya itu?

Atau mungkinkah kerana faktor usia, beliau sekarang sudah lupa tentang banyak perkara?

-https://shahbudindotcom.net/

.