JHO LOW SUDAH DITANGKAP?

Bilionaire playboy yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Jho Low kini diperkatakan ramai sudah pun ditangkap dan sedang ditahan.

Beliau dikatakan sedang ditahan di suatu tempat dan hanya menunggu waktu yang sesuai, dijangka beberapa hari selepas Hari Raya Aidil Fitri, untuk diumumkan secara rasmi mengenai penangkapannya.

Dilaporkan juga pihak polis sudah pun berada di tempat di mana Jho Low ditahan dan sedang menyoal-siasatnya.

Beberapa hari sebelum ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador melahirkan keyakinan Jho Low akan ditangkap dalam waktu terdekat ini.

Beliau memberitahu, pihak polis sudah mengetahui di mana Jho Low bersembunyi dan sedang menunggu waktu yang sesuai untuk menahan dan membawanya balik ke Malaysia bagi menjawab pertuduhan berkaitan skandal 1MDB.

Semalam pula, Abdul Hamid meminta orangramai bersabar berhubung penangkapan Jho Low.

“Macam mana kita bersabar menunggu waktu berbuka puasa, begitulah juga kita perlu bersabar menunggu penangkapan bilionaire itu.

“Satu hari lagi kita genap berpuasa, maka kita perlu bersabar. Begitulah seterusnya dalam waktu terdekat,” katanya lagi.

Kata sumber yang layak dipercayai, keyakinan tinggi yang ditunjukkan oleh Abdul Hamidi berhubung penangkapan Jho Low bukanlah perkara main-main.

“Kenyataan demi kenyataannya berhubung penangkapan Jho Low memberi gambaran bahawa bilionaire tersebut sudah ada dalam kawalan pihak berkuasa dan hanya menunggu masa saja untuk dibawa balik atau diumumkan secara rasmi.

“Jika Jho Low belum ditangkap, tidak mungkin IGP ada keyakinan sebegitu tinggi,” kata sumber itu lagi.

Skandal 1MDB telah menjadi isu besar bagi PH dalam PRU14 sehingga gabungan itu berjaya menumbangkan BN.

Disebabkan skandal 1MDB juga, Najib Razak kini sedang dibicarakan berkaitan dengannya sama ada berkaitan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Jho Low pula, sebaik BN kalah dilaporkan telah bersembunyi di beberapa tempat, antaranya Macau dan China.

Penangkapan Jho Low tentunya merupakan berita gembira buat rakyat Malaysia dalam era Malaysia Baru untuk mengetahui kebenaran skandal 1MDB yang diperkatakan di seluruh dunia itu.

Tanpa keterangan beliau, duduk perkara sebenar mengenai skandal 1MDB tidak akan sempurna jadinya.

Maka, rakyat Malaysia memang menunggu-nunggu dan tidak sabar menanti berita penangkapannya itu.

Apa agaknya perasaan Najib jika penangkapan Jho Low ini benar-benar menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini?

-https://shahbudindotcom.net

.