JHO LOW: JANGAN BAGI HARAPAN PALSU LAGI

SEBAIK-BAIKNYA kita janganlah mensensasikan berita kemungkinan Jho Low ditangkap dan dibawa balik ke Malaysia apatah lagi menularkan khabar angin.

Malangnya, perbuatan menularkan khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi sebagai berita/maklumat sahih di media arus perdana dan media sosial sudah menjadi semacam satu penyakit.

Hatta orang yang berkedudukan tinggi pun banyak yang terikut-ikut dengan tabiat buruk dan berbahaya ini.

Saya bimbang bahawa akibat penggunaan media sosial yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat kita menjadi semakin “gossipy” atau dalam bahasa Melayu popular “membawang”.

Memanglah kita yang menghormati hukum undang-undang (rule of law) mahu Jho Low yang nama sebenarnya Low Taek Jho ditangkap, dibawa balik dan dibicarakan.

Dia ini otaknya bergeliga tetapi jahat dan berbahaya. Pada usia 28 tahun dia sudah berjaya mempengaruhi ramai orang atasan dan berjaya menjadi agen bebas kepada Terengganu Investment Authority (TIA) dan kemudian 1Malaysia Development Berhad.

Yang tidak mahu Jho Low ditangkap dan dibawa balik adalah orang dan pihak yang bersekongkol dengannya bagi menipu berpuluh bilion ringgit duit 1MDB.

Ini termasuklah penaungnya, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak.

Tidak ada Najib tidak ada lah Jho Low kerana Najib lah yang menukar TIA menjadi 1MDB dan memaberikan anak tauke Cina Pulau Pinang ini “carte blance” atau kuasa mutlak untuk mengatur kewangan 1MDB.

Beberapa minggu lalu, seorang rakan wartawan warganegara Amerika bertanya sama ada kerajaan Malaysia tahu di mana Jho Low berada dan sama ada benar dia dilindungi oleh kerajaan China.

Saya kata, apa saja boleh berlaku kerana Jho Low masih banyak duit dan sudah jadi “pawn in the game” bagi banyak negara.

Silap-silap dia tidak lagi budak gempal seperti yang kita kenali sebaliknya mungkin sudah menjalani pembedahan plastik dan sekarang serupa dengan hero Hollywood Leonardo DeCaprio.

Jho Low dan rakan sekongkolnya di Amerika, Riza Shahriz Abdul Aziz, telah membiayai filem “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi oleh DeCaprio.

Riza adalah anak Datin Paduka Seri Puti Reno Rosmah Mansor dengan suami pertamanya. Rosmah dan anaknya itu sudah pun dituduh di mahkamah bersabit duit 1MDB.

Jho Low juga menghadiahkan kepada DeCaprio sebuah lukisan oleh Piccaso berharga AS$3.2 juta (kira-kira RM13 juta). DeCaprio telah menyerahkan lukisan itu kepada Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) setelah mengetahui yang ia mungkin dibeli dengan duit curi 1MDB.

Kesimpulannya, kebanyakan kita mahu Jho Low dibawa balik untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Tetapi janganlah ada sesiapa pun yang memberi harapan palsu yang akan mengecewakan kita semua atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat.

Kadang-kala penyebaran maklumat tidak sah dan berita palsu boleh menggagalkan operasi sulit seperti mengesan, mengangkap dan membawa balik pelarian undang-undang Jho Low ini.

-https://kadirjasin.blogspot.com

.