SALAH TUN, ORANG TAK SUKA KERANA PH & TUN SENDIRI SELALU MUNGKIR JANJI

Bercakap di Tokyo, Tun Mahathir Mohamad berkata, kerajaan PH tidak begitu disukai oleh sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran lama memberi “duit percuma”.

“Kerajaan lama suka beri “wang percuma” kepada rakyat, semua orang dapat “wang percuma,” katanya pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo.

“Tapi kini kita (PH) sudah ambil alih, kita perlu tanggung beban hutang, kita tak ada duit dan kita tak boleh beri duit percuma.

“Dan apabila kita tak beri duit percuma, orang tak suka kita,” kata pengerusi PH itu lagi.

Tun Mahathir seterusnya berkata, negara yang rakyatnya bergantung kepada “duit percuma” daripada kerajaan tidak akan berkembang.

“Hanya negara yang rakyatnya bekerja keras akan berkembang,” tambah Tun Mahathir.

Sebenarnya apa yang Tun Mahathir sebut ini bukan saja tidak tepat, malah ada yang tidak benar sama sekali.

Pertama, rakyat mula tidak suka kepada PH bukan kerana kerajaan tidak memberi “duit percuma”, tetapi disebabkan gagal menunaikan janji-janji yang dibuatnya.

Banyak janji-janji PH, bukan saja dalam tempoh 100 hari, malah janji-janji lain juga seolah-olah begitu berat untuk ditunaikan setelah kuasa diperolehi.

Kenapa berani berjanji jika tidak mahu menunaikannya?

Janganlah asyik-asyik beri alasan hutang dan beban kewangan sebagai sandaran gagal menunaikan janji, sedangkan dalam waktu yang sama projek-projek tidak perlu seperti F1, kereta ketiga dan lain-lainnya mahu dilaksanakan pula.

Kenapa tidak diutamakan menunaikan janji kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mahu melaksanakan projek-projek tersebut?

Inilah yang sebenarnya menyebabkan rakyat mula hilang selera kepada PH kerana segala-galanya hanya indah ketika belum mendapat kuasa.

Setelah rakyat memberikan undi mereka, ternyata Tun Mahathir bukan saja mengecewakan, tetapi juga melukakan hati mereka dengan mengatakan Buku Harapan yang mengandungi janji-janji itu bukanlah sebuah kitab suci yang wajib dipatuhi.

Kitab manakah yang Tun belajar yang membenarkan seseorang itu bersikap curang terhadap janji?

Kedua, bukankah kerajaan PH ini masih lagi meneruskan pemberian “duit percuma” seperti BR1M yang ditukar kepada BSH, wang untuk pelajar sekolah, penuntut universiti dan juga untuk orang bujang?

Mengapa PH tidak membatalkannya, bahkan meneruskan amalan kerajaan lama memberi “wang percuma” juga?

Bukankah kerajaan PH juga sama seperti kerajaan lama yang turut memberi “wang percuma”?

Tetapi, mengapakah jumlah mereka yang tidak suka kepada PH terus bertambah juga?

Selain itu, kenyataan Tun Mahathir bahawa rakyat yang bergantung kepada “duit percuma” susah berkembang juga tidaklah tepat seratus-peratus kerana banyak negara maju sendiri melakukan pemberian percuma kepada rakyatnya.

Banyak negara maju misalnya menyediakan elaun penganggur kepada rakyatnya, malah mereka juga menyediakan pendidikan percuma dan elaun tertentu kepada rakyatnya.

Harus diingat bahawa pemberian seumpama itu bukanlah “duit percuma” tetapi lebih berupa bantuan kepada mereka yang memerlukan dan untuk mereka memperbaiki kehidupan masa depan.

Namun, negara-negara tersebut tetap berkembang maju dan kerajaannya terus mendapat sokongan rakyat.

-https://shahbudindotcom.net

.