TUN M PERLU BERHENTI MENGULANG2 JANJI NAK SERAH KUASA, YANG PENTING TETAPKAN TARIKHNYA SEGERA

Untuk kesekian kalinya, rasanya sudah lebih 15 kali, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.

Bercakap di Tokyo sempena lawatan rasmi ke negara tersebut, Tun Mahathir berkata, beliau tetap akan mematuhi janji yang telah dipersetujui itu, walaupun tiada tempoh masa yang ditetapkan.

“Saya telah bersetuju yang Anwar akan mengambil alih dari saya dan saya akan mematuhi dengan perjanjian saya.

“Semasa pembentukan gabungan PH, adalah dipersetujui bahawa ia akan diketuai oleh saya sebagai pengerusi.

“Kami juga berjanji sekiranya saya menjadi Perdana Menteri, penggal saya akan dihadkan ke beberapa tempoh, tetapi masa sebenar tidak dinyatakan,” tambahnya.

Tegas Tun Mahathir lagi, mungkin ada bantahan terhadap peralihan kuasa itu, tetapi menambah bahawa ia “adalah masalah mereka, bukan masalah kepada dirinya.”

Sebagaimana yang disebut pada awal tadi, ini adalah penegasan yang sudah melebihi 15 kali dinyatakan oleh Tun Mahathir berhubung janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Tetapi, meskipun penegasan itu kelihatan semakin kukuh, masih ramai yang curiga dengannya.

Ia, sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini di mana umpamanya jika seorang lelaki telah berjanji untuk bertunang selama dua tahun dengan seorang gadis, apabila melebihi tempoh setahun pertunangan itu, sepatutnya telah ada tarikh untuk majlis persandingannya.

Setelah lebih setahun bertunang, tentulah agak ganjil apabila silelaki tak habis-habis mengulangi janji akan berkahwin, tetapi tidak pula menetapkan tarikh yang khusus untuk majlis kenduri dan bersanding.

Yang ditunggu dan mahu didengar selepas lebih setahun bertunang ialah bilakah tarikh untuk berkahwin dan bukannya ulangan kata-kata akan berkahwin, akan berkahwin dan akan berkahwin.

Begitu juga dalam kes peralihan kuasa kepada Anwar ini, rakyat tidak mahu lagi mendengar Tun Mahathir terus mengulang-ulang janji akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar.

Perkara itu sudah terlalu kerap didengar oleh rakyat dan dinyatakannya sama ada di dalam negara mahu pun di luar negara. Pendek kata, seluruh dunia telah mendengarnya.

Rakyat kini hanya mahu tahu bilakah tarikh peralihan kuasa itu akan berlaku.

Saya pun sudah hampir letih menulis mengenainya. Dalam blog, melalui FB dan buku, sudah banyak kali saya menyentuh perlunya Tun Mahathir segera memilih tarikh yang sesuai untuk beliau berundur dan seterusnya Anwar mengambilalih teraju pentadbiran negara ini.

Harapnya selepas ini, minggu depan atau bulan depan, Tun Mahathir tidak lagi mengulang-ulang janji mahu menyerahkan jawatannya itu.

Sebaliknya, terus saja sebut satu tarikh untuk berlakunya peralihan jawatan itu.Remove featured image

Habis cerita, dengannya rakyat akan gembira, pembangkang ternganga dan PH boleh terus maju ke hadapan meneruskan agendanya.

-https://shahbudindotcom.net

.