SEMAKIN RAMAI SEDAR PERLU ADA TARIKH DALAM PERALIHAN KUASA

Melepasi tempoh setahun Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan kira-kira setahun lagi sebelum peralihan jawatan kepada Anwar Ibrahim, semakin ramai kini sedar perlunya ada tarikh khusus mengenai peralihan tersebut.

Kata-kata “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang” tidak lebih hanya akan menambahkan lagi kekeliruan dan kekaburan mengenai peralihan yang dijanjikan itu.

Kecuali dengan adanya tarikh khusus saja yang dapat menamatkan ketidaktentuan serta kekeliruan itu.

Selain Anwar sendiri baru-baru ini menyatakan rundingan antara beliau dengan Tun Mahathir sedang berjalan berhubung tarikh peralihan jawatan itu, saya sendiri turut mengemukakan persoalan yang sama dalam buku terbaru, “Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati” yang kini sudah dijual di seluruh negara.

Jika Tun Mahathir boleh menetapkan tarikh penyerahan jawatan kepada Tun Abdullah pada 2003 dahulu, tiada sebab beliau tidak boleh melakukannya sekali lagi?

Tun Mahathir tidak perlu risau beliau mungkin menjadi “lamb duck” kiranya tarikh peralihan jawatan itu ditetapkan, sebaliknya harus melihatnya sebagai titik untuk melonjakkan lagi namanya sebagai negarawan yang menjadikan nama serta legasinya terus dikenang dan disanjung sepanjang zaman.

Lagi pun, ini adalah kali kedua beliau memegang jawatan Perdana Menteri, persoalan itu seharusnya tidak menjadi perkiraan utama lagi baginya.

Yang lebih penting, tidakkah beliau terfikir bahawa nama dan legasinya akan bertambah buruk jika meninggal dunia dalam keadaan janji tidak ditepati, apatah lagi kalau berbalah semula buat kali kedua dengan Anwar sedangkan sudah berdamai sebelum ini dan simbol yang digunakan PH dalam PRU14 lalu juga ialah logo PKR?

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang kini menjadi pengkritik kerajaan, Zaid Ibrahim turut melihat pentingnya tarikh peralihan kuasa segera ditetapkan.

Kata beliau, jika ada tarikhnya semua isu berkaitan peralihan itu akan selesai dengan sendirinya.

Penulis dan kolumnis, Wan Haron Wan Hassan tidak terkecuali melontarkan persoalan yang sama dalam tulisannya.

Beliau menanyakan, bilakah masa yang sesuai untuk Tun Mahathir melakukan penyerahan baton kuasa kepada Anwar?

Saya hanya ingin mengulangi lagi apa yang pernah saya tulis sebelum ini di mana jika janji bertunang selama dua tahun, setelah setahun berlalu, tarikh untuk bersanding sepatutnya sudah pun ditetapkan.

Adakah boleh dipercayai seorang lelaki itu ingin melangsungkan perkahwinan jika tidak berani menetapkan tarikh untuk bersanding?

Cuma, dalam hal ini, bolehkah Lim Kit Siang, Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu juga mula cuba-cuba bercakap mengenai perlunya tarikh peralihan jawatan itu segera ditetapkan?

-shahbudindotcom.net/

.