MASA UNTUK MEMBUAT PENILAIAN & PENJAJARAN

MEMANDANGKAN Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah berusia setahun dan banyak penilaian telah dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri maka eloklah satu tindakan susulan yang menyeluruh dibuat.

Pada 6 Mei lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa beliau memberikan markah 50 peratus kepada anggota kabinet berbanding 40 hingga 50 peratus lima bulan sebelumnya.

Tetapi sebelum saya meneruskan perbincangan tajuk ini, izinkan saya membuat sedikit penjelasan mengenai analisis saya bertajuk “Kerajaan PH Terdedah Kepada Sabotaj” yang  tiba-tiba menular (viral) di media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Ini rencana lama. Ia ditulis dan disiarkan dalamBlog saya pada 20 Oktober lalu – lama sebelum kerajaan PH menyambut ulang tahun pertamanya 9 Mei lalu.

Walaupun bukan perbuatan saya menyebar semula rencana itu, namun saya memohon maaf seandainya timbul kekeliruan dan kegusaran akibat merebaknya tulisan itu.

Kalau boleh, izinkan saya mencadangkan kepada penggiat media sosial agar melawat Blog saya bagi memperoleh maklumat terbaru dan terus. Kadang-kadang berita yang ditulis semula dan disiarkan oleh media masa tidak berapa tepat dan bukan yang terbaharu.

Berbalik kepada keperluan PH membuat penilaian komprehensif dan menjajarkan semula janji-janji pilihan raya umum (PRU), dasar, rancangan dan pelantikannya, saya yakin ia boleh membantu memulihkan semula keyakinan dan sokongan orang ramai.

Mana-mana janji PRU, dasar dan rancangan yang tidak sesuai, tidak praktikal dan bertindih hendaklah dipinda atau digugurkan langsung.

Janji PRU, dasar dan rancangan adalah ciptaan kita sendiri. Jadi kita janganlah terlaku terikat atau terpenjara kerananya.

Lagipun, janji-janji itu kita rangka ketika kita pembangkang di mana banyak maklumat adalah tidak lengkap atau tidak tepat.

Sekarang kita tahu keadaan sebenar yang nyata lebih buruk daripada yang kita jangkakan maka kita berhak dan wajib membuat penyesuaian.

Prestasi Menteri

Begitu juga dengan watak-watak yang kita lantik untuk menganggotai Kabinet atau menjadi Menteri Besar, Ketua Menteri dan Ahli Majlis Kerja (Exco) kerajaan negeri.

Jika ada yang masih merangkak dan meraba-raba setelah setahun diberi peluang dan tanggungjawab maka adalah kewajipan kita meminta mereka memikirkan semula kedudukan mereka dan, jika mereka berasa perlu, mengundurkan diri secara sukarela supaya orang lain boleh dilantik menggantikan mereka.

Saya rasa masa setahun sudah cukup lama. Mungkin tidak kepada penjawat tetapi bagi rakyat jelata yang menaruh harapan, ia mungkin macam selama-lamanya.

Setahun – 12 bulan, 52 minggu dan 365 hari – adalah cukup lama bagi mereka kerana mereka mengharapkan perubahan dan pembaikan apabila mereka mengundi parti kita.

Kita hanya mampu memberi pandangan dan menaruh harapan. Selebihnya adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk memikirkan tindakan sewajarnya.

Beliau tentu lebih arif kerana beliau sendiri memberi markah 50 peratus sahaja kepada anggota kabinet beliau.

Pada fahaman saya, ini adalah markah purata. Ada yang bawah 50 dan ada yang atas 50. Yang bawah daripada 50 itu bolehlah dijadikan sasaran untuk diganti.

Rakyat jelata, khususnya yang mengundi PH, berhak untuk membuat penilaian siapa yang pada pengetahuan dan pandangan mereka, berjaya atau gagal memenuhi aspirasi mereka.

Pegawai Tadbir

Begitu juga dengan lantikan penting dalam Perkhidmatan Awam, agensi amanah dan syarikat berkaitan kerajaan.

Ada kakitangan awam yang masih setia kepada bos lama

Semua orang tahu ramai pegawai tinggi lantikan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) masih dalam jawatan masing-masing. Malah ada yang dinaikkan pangkat kerana mereka layak atau kerana proses kenaikan pangkat biasa.

Kita juga tahu, ada saki baki lantikan bekas kerajaan BN yang masih setia kepada bos lama atau terikut-ikut cara dahulu.

Secara langsung dan tidak langsung mereka ini bersekongkol mensabotaj kerajaan PH demi mengekalkan jawatan masing-masing.

Ini adalah kerana mereka tahu bahawa hanya dengan cara itu saja mereka boleh melindungi dan merahsiakan keterlibatan masa lampau mereka.

Pada dasarnya, Perkhidmatan Awam adalah berkecuali dan setia kepada kerajaan yang memerintah – the government of the day.

Tetapi virus kerajaan kleptokrasi telah menjangkiti darah daging sebahagian daripada mereka akibat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Ramai yang menggunakan “reversed psychology” dengan mendakwa mereka dianaktirikan dan dianiaya oleh kerajaan PH.

Sudah sampailah masanya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bekerjasama dengan kerajaan membuang virus ini supaya cabang eksekutif dan pentadbiran boleh berganding bahu berkhidmat untuk negara dan rakyat jelata.

Pengurusan GLC

Begitu jugalah dengan pengurusan agensi Amanah dan GLC serta GLIC.

Mana-mana yang tidak sehati dengan kerajaan PH atau berasa kurang layak eloklah mengundurkan diri.

Tidak terkecuali adalah ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang dilantik oleh PH sendiri.

Perdana Menteri mahu gaji kakitangan GLC lebih seimbang

Sekiranya mereka didapati tidak memenuhi syarat dan aspirasi lantikan mereka, kerajaan wajiblah berterus terang dan menasihatkan mereka agar berundur atau disingkirkan.

Tindakan yang sama perlu diambil ke atas ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan yang mengutamakan kepentingan peribadi daripada organisasi atau yang terlibat dengan jenayah korporat.

Kita dapati ada anggota pengurusan kanan yang membayar diri mereka sendiri gaji, elaun dan kemudahan yang berpuluh juta ringgit nilainya setahun sedangkan gaji kakitangan bawahan adalah pada kadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Amalan dan tabiat ini amat tidak secocok dengan saranan Dr Mahathir di persidangan “Invest Malaysia” Mac lalu agar pengurusan berkongsi keuntungan secara lebih adil dan saksama dengan pekerja.

Mana-mana pengurusan yang mengambil jalan mudah memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos dan mengekalkan keuntungan wajib dianggap sebagai pengurusan yang lemah dan gagal.

Kesimpulannya, setalah setahun memerintah, kerajaan PH wajib menilai semula keberkesanannya dalam konteks janji pilihan raya dan aspirasi rakyat jelata dan melakukan penyesuaian.

Saya amat yakin majoriti rakyat jelata boleh menerima realiti semasa jika kerajaan bertindak secara bijaksana, telus dan terbuka.

Tetapi mereka akan hukum kita kalau kita bertindak defensif, memutar-belitkan fakta dan cuba menegakkan benang kering.

Ingatlah, benang kering akan bertiup dalam angin dan tidak berguna. Tetapi benang basah boleh dipintal hujungnya dan dimasukkan ke dalam lubang jarum untuk menjahit kain yang koyak.

-https://kadirjasin.blogspot.com/

.