SIAPA LAGI MAHU MASUK BERSATU? BENARKAH BEKAS PEMIMPIN UMNO SUDAH MULA MENYESAL?

Rasanya sudah lama kita tidak mendengar khabar berita mengenai beberapa bekas pemimpin UMNO yang telah bertindak melompat menyertai Bersatu sebaik BN kalah dalam PRU14 lalu.

Bagaimana keadaan mereka agaknya – makin gembira atau semakin berduka?

Adakah mereka diberi sebarang kedudukan dan peranan dalam Bersatu?

Baru-baru ini saya kebetulan terjumpa dengan seorang bekas Ahli Parlimen UMNO yang tidak dicalonkan dalam PRU14 lalu, kemudian berbual-bual seketika dengannya.

Dalam perbualan itu, antara isu yang turut disentuh ialah berkenaan kedudukan bekas pemimpin-pemimpin yang telah meninggalkan perjuangan UMNO untuk menyertai Bersatu.

Kata bekas Ahli Parlimen itu, meskipun tidak dinafikan ada di antara mereka yang menyertai Bersatu itu kerana ada masalah masing-masing, tetapi katanya, beberapa daripada mereka nampaknya sudah mula menyesal meninggalkan UMNO.

Mereka, tambah beliau, bukan saja rasa terabai kerana tidak diberi apa-apa peranan dalam kerajaan, malah tidak dipedulikan oleh Bersatu di kawasan di mana mereka menjadi Ahli Parlimen.

“Dengan UMNO sudah tentu mereka dijauhi, tetapi dalam Bersatu pun tidak diterima sama,” kata bekas Ahli Parlimen itu lagi.

Lebih perit, katanya, ada antara mereka tidak menyangka UMNO yang mereka tinggalkan menjadi semakin diyakini rakyat, walaupun parti itu sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa lagi.

Dalam keadaan ini, jelas bekas Ahli Parlimen itu lagi, bukan saja Ahli-Ahli Parlimen itu yakin mereka tidak akan dipilih sebagai calon mewakili Bersatu dalam PRU15 akan datang, bahkan kalau dipilih pun tidak mungkin dapat mencapai kemenangan.

Beliau seterusnya mengambil contoh mengenai Mustapa Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Jeli yang ketika ini semakin dipingggirkan pengundi sebaik saja melompat secara mengejut menyertai Bersatu.

“Daripada maklumat kawan-kawan di Kelantan, semua berkata Mustapa tidak mungkin mampu lagi mengekalkan kerusi Jeli kalau bertanding mewakili Bersatu dalam pilihanraya akan datang.

“Kalau Tok Pa pun tak mampu menang, yang lain-lain lagilah payah,” ujar bekas Ahli Parlimen itu lagi.

Kata beliau, tindakan mereka melompat parti hanya meletakkan titik penamat dalam karier politik masing-masing.

-https://shahbudindotcom.net/

.