MUSUH DALAM SELIMUT PUN ORANG TAK SIMPAN, INIKAN PULA MUSUH YANG NYATA

Sebagaimana didedahkan di media sosial baru-baru ini, apa yang berlaku dalam YAPEIM dan PTPTN sekarang ialah wujudnya musuh yang nyata dalam kedua-dua agensi tersebut.

Mereka bukan lagi musuh dalam selimut, tetapi musuh yang sudah dikenalpasti secara terang-terangan.

Dalam YAPEIM atau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, individu terbabit yang didapati berkempen, mengutuk PH serta mengugut pengundi sebelum PRU14 lalu adalah Ketua Pengarahnya sendiri, Abibullah Shamsudin.

Oleh kerana beliau secara jelas berkempen bagi pihak BN, mengekalkannya lagi di jawatan yang sama di bawah pemerintahan PH adalah sesuatu yang janggal dan tidak sewajarnya.

Apakah jaminannya beliau tidak bertindak secara halus mensabotaj PH melalui kedudukannya menjelang PRU15 akan datang?

Begitu juga dalam PTPTN, Timbalan CEO, Mastura Mohd Khalid yang melontarkan kenyataan bahawa badan itu sedang mengkaji memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara, selain menyekat pembaharuan pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan adalah seorang AJK UMNO di sebuah bahagian di WP Kuala Lumpur.

Meskipun beliau ada kelayakan memegang jawatan tersebut, tetapi dengan jawatan penting yang dipegangnya dalam UMNO, bermakna beliau tidak sesuai lagi berada di kedudukan tersebut dalam era pemerintahan PH sekarang ini.

Orang yang memegang jawatan penting di agensi sensitif seperti PTPTN mestilah mereka yang dapat menghayati aspirasi perjuangan serta manifesto PH, bukan pemegang jawatan penting dalam parti musuh.

Kalau Mastura hanya seorang ahli UMNO biasa yang tidak aktif, barangkali tiada masalah beliau terus kekal di jawatannya, tetapi PH akan ternampak “bodoh” jika tidak berani menggantikannya.

UMNO sendiri pun ketika sedang berkuasa dahulu tidak mungkin membenarkan pemegang jawatan penting dalam PKR, Bersatu, DAP dan Amanah memegang sebarang jawatan penting dalam mana-mana agensi kerajaan.

Agensi kerajaan mesti ditadbir oleh mereka yang selari dan faham dengan aspirasi parti pemerintah kerana sebarang tindakan yang dilakukan memberi kesan kepada PH yang menguasai kerajaan.

Dengan kata mudah, baik Abibulah atau Mastura, mereka adalah musuh yang nyata dan terang-terangan kepada PH.

Musuh dalam selimut pun tiada siapa mahu menyimpannya, inikan pula musuh yang sudah terang lagi nyata.

Sebelum disabotaj, dianiaya secara halus dan sebelum kalah dalam PRU15 akan datang, menteri yang bertanggungjawab terhadap YAPEIM dan PTPTN mesti bertindak dengan segera terhadap kedua-dua mereka.

-https://shahbudindotcom.net

.