PECAT SAJA WAN SAIFUL SEBAGAI PENGERUSI PTPTN

Sekali lagi PTPTN menjadi isu, bualan dan kemarahan orangramai.

Kali ini berikutan cadangannya mahu mengenakan semula sekatan perjalanan ke luar negara bagi peminjam yang gagal membayar pinjaman.

Sebelum ini sekatan perjalanan itu pernah dikuatkuasakan di era pemerintahan BN, tetapi sebaik PH mengambil alih pentadbiran kerajaan, ia telah dibatalkan kerana dianggap menindas peminjam, terutama yang belum bekerja tetap.

Kenapakah hanya setelah setahun membatalkan sekatan itu, PTPTN di bawah era PH yang di pengerusikan oleh Wan Saiful Wan Jan, salah seorang pemimpin Bersatu, mahu kembali semula menguatkuasakan cara dan gaya BN itu?

Tidak cukup dengan cadangan menguatkuasakan semula sekatan perjalanan itu, PTPTN juga berhasrat untuk mengenakan beberapa tindakan lain dalam usaha mengutip hutang seperti menyekat membaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Kenapa PTPTN nampak begitu zalim?

Meskipun ia masih berupa cadangan, PTPTN bukan saja harus menolaknya lebih awal, tetapi tidak patut sama sekali membawanya untuk diperkatakan kepada media massa.

Ini kerana ia adalah cadangan gila yang secara langsung adalah percubaan menjadikan PTPTN sebagai pengkhianat kepada kerajaan PH sendiri.

Kalau sampai lesen dan cukai jalan pun mahu disekat, apakah PTPTN mahu mendera peminjam agar hidup dengan berjalan kaki saja?

Apakah PTPTN, khususnya Wan Saiful tidak membaca dan meneliti kandungan janji manifesto PH berkaitan badan itu yang dijanji akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sebaik memenangi PRU14 lalu?

Sebagai salah seorang pemimpin Bersatu, meskipun kalah bertanding di Pendang dalam PRU14 lalu, di manakah pemahaman dan penghayatan Wan Saiful terhadap manifesto PH bersama kedudukannya sebagai Pengerusi PTPTN?

Jika kita masih ingat, ini adalah kali kedua PTPTN di bawah Wan Saiful berbuat sesuatu yang bercanggah dengan aspirasi rakyat mengundi PH dalam usaha mengutip balik bayaran pinjaman pendidikannya.

Beberapa bulan sebelum ini, meskipun dalam manifesto PRU14 telah dijanjikan bayaran balik hanya perlu dibuat jika peminjam sudah berpendapatan RM4000 sebulan, beliau pernah membentangkan saranan agar peminjam perlu membayar semula mengikut peratusan gaji yang diperolehi.

Potongan yang dicadangkan ialah 2 hingga 15 peratus bermula daripada pendapatan RM2000 sebulan sehingga RM8000 dan ke atas.

Dalam cadangan itu, mereka yang bergaji RM4000 dikehendaki membayar sebanyak 8 peratus atau berjumlah RM320 sebulan sebagai bayaran balik pinjaman.

Tidakkah ini juga gila kerana sebelum menang PRU14 dijanjikan jika bergaji RM4000 baru dikehendaki membuat bayaran balik, tetapi setelah menang, bukan saja bergaji RM2000 sudah mahu dipotong sebanyak 2 peratus, malah yang berpendapatan RM4000 kena sedia disedut sebanyak 8 peratus atau RM320 setiap bulan untuk bayaran balik hutang PTPTN?

Nampaknya Wan Saiful tidak boleh berfikir bahawa mereka yang bergaji RM4000, apalagi jika tinggal di Kuala Lumpur, ditolak ansuran kereta, rumah dan belanja hidup yang tinggi kosnya, tiada apa lagi yang tinggal lagi untuk mereka meneruskan kehidupan seharian.

Mujur cadangan pertama itu ditangguhkan oleh kerajaan kerana didapati tidak sesuatu dan menekan peminjam.

Kini muncul pula cadangan kedua untuk menyekat perjalanan, termasuk membaharui pasport, lesen, cukai jalan dan juga lesen perniagaan.

Dengan sudah dua kali berbuat sesuatu yang tidak munasabah dan tidak menghayati janji manifesto sendiri, bermakna Wan Saiful tidak layak sama sekali menerajui PTPTN.

Kalau beliau masih tidak sedar diri dan enggan berundur, ada baiknya beliau dipecat dan diganti saja dengan orang lain sebelum muncul cadangan ketiga dan seterusnya yang mungkin lebih gila dan membuatkan PH tambah dibenci pengundi. 

-https://shahbudindotcom.net

.