KENYATAAN ANWAR SELARI DENGAN GESAAN DALAM BUKU

Anwar Ibrahim berkata, beliau kini sedang berbincang dengan Tun Mahathir Mohamad mengenai tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, perbincangan itu berjalan dengan baik dan beliau tidak berasa penyerahan kuasa itu akan mengundang sebarang masalah.

“Saya tidak ada masalah sama sekali dengan Tun Mahathir.

“Soal tarikh dan sebagainya (perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-8), biarlah saya berbincang dengan beliau sebagaimana yang sedang berjalan sekarang ini.

“Tun Mahathir punya peranan pada masa sekarang dan beliau harus diberi ruang menjalankan tugasnya.

“Andai kata saya ambil alih kepimpinan negara pun, peranan Tun Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita,” jelas Anwar lagi.

Sesungguhnya kenyataan terbaru Anwar ini merupakan satu lagi perkembangan yang baik dan positif dalam memastikan proses peralihan kuasa sebagaimana yang telah dijanjikan itu berjalan lancar.

Malah, kenyataan terbaru Anwar ini juga bertepatan dengan saranan yang saya cetuskan dalam buku terbaru bertajuk “Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati” yang diterbitkan pada minggu lalu.

Buku itu kini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara.

Dalam saranan yang terkandung di muka belakang buku tersebut, saya telah menyarankan agar Tun Mahathir tidak berlengah lagi menetapkan tarikh pengundurannya bagi membolehkan Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Ini kerana setelah setahun menjadi Perdana Menteri dan kira-kira setahun lagi sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, Tun Mahathir seharusnya segera memilih sendiri tarikh pengundurannya sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dahulu.

Saya menekankan hanya dengan Tun Mahathir sedia menetapkan tarikh tersebut saja yang akan menamatkan segala spekulasi dan ketidaktentuan berhubung peralihan kuasa itu.

Harapan rakyat, setelah tumbangnya BN dalam PRU14 yang lalu tidak lain ialah untuk melihat proses peralihan kuasa itu berjalan lancar demi memastikan PH terus stabil, bersatu dan kukuh dalam mentadbir negara ini.

Mudah-mudahan segalanya baik-baik saja.

-https://shahbudindotcom.net/

.