TIADA KEPERLUAN ROMBAK KABINET, KATA DR M

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tiada rancangan untuk merombak Kabinet kerana tidak menganggap ada keperluan melakukannya, walaupun memberi mereka markah 5 daripada 10.

Katanya, beliau seorang yang konservatif dalam hal-hal demikian.

“Saya sudah berada dalam kerajaan 22 tahun,” katanya, merujuk kepada tempoh beliau menjadi perdana menteri ke-4 dulu, selepas Allahyarham Hussein Onn.

Beliau berkata demikian ketika diminta menilai prestasi Kabinetnya sekarang, di mana kebanyakan anggotanya menjadi menteri pertama kali.

Mereka dilantik selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei tahun lepas.

Mahathir berkata, sementara beliau tahu bagaimana kerajaan berfungsi, ramai menteri barunya tidak tahu dan takut dituduh melakukan kesalahan.

Ini, katanya, menyebabkan proses membuat keputusan menjadi lebih rumit, walaupun mereka cepat belajar menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Katanya, ada kalanya mereka akan datang kepadanya untuk mendapatkan nasihat dan beliau akan membimbing.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, prestasi menteri-menterinya baik.

“Saya tidak nampak sebab mengapa saya perlu rombak Kabinet dan saya percaya akhirnya mereka akan menjadi sebaik mana-mana anggota (Kabinet) yang berpengalaman,” katanya.

FREE MALAYSIA TODAY

.