APAKAH MB PERAK BAKAL TERIMA NASIB SEPERTI OSMAN SAPIAN?

Kedudukan Ahmad Faizal Azumu atau Peja sebagai Menteri Besar Perak sekali lagi menjadi bualan dan perhatian berikutan tersebarnya audio perbualan yang mengkritik dan mempertikai kepimpinannya.

Audio berkenaan dikatakan melibatkan Exco dan Adun PH di Perak sendiri.

Walaupun ada Exco dan Adun yang dikaitkan dengan audio berkenaan menafikan rakaman audio itu suara mereka, tetapi Peja sendiri tidak menolak kemungkinan wujudnya usaha untuk menjatuhkannya.

Kata Peja yang merupakan satu-satunya Adun Bersatu yang menang dalam PRU14 lalu, usaha untuk menjatuhkannya itu memang wujud sejak beliau mula memegang jawatan itu lagi.

“Tetapi, saya masih lagi Menteri Besar Perak. Esok pun saya masih Menteri Besar lagi, kecuali kalau saya jatuh tangga dan mati,” katanya.

Berbanding Menteri Besar atau Ketua Menteri PH yang lain, Peja dilihat paling tidak stabil kedudukannya.

Sejak awal lagi, ada saja desas-desus atau khabar angin tersebar yang dikatakan bertujuan menyingkirkannya.

Rasa-rasanya sudah tiga atau empat kali perkara itu timbul sama ada perancangan itu melibatkan Adun UMNO atau Adun PH sendiri.

Kenapakah Peja begitu kerap dipertikaikan dan mahu dijatuhkan?

Adakah kerana kepimpinannya yang tidak memuaskan atau kerana beliau satu-satunya Adun Bersatu yang menang pilihanraya berbanding PKR, DAP dan Amanah yang memiliki lebih banyak kerusi?

Jika diimbas, selain Peja, seorang lagi ketua kerajaan negeri yang sering menjadi bualan dan dipertikaikan ialah Osman Sapian, juga daripada Bersatu yang menjadi Menteri Besar Johor sebelum ini.

Bagaimanapun, berikutan beberapa kritikan dan ketidakpuasan hati banyak pihak terhadapnya, beliau sudah pun digantikan dengan Dr. Shahruddin Jamal, baru-baru ini.

Dengan semacam berterusan usaha mahu menyingkirkan Peja sebagai Menteri Besar Perak, perhatian kini ialah mampukah beliau terus bertahan sehingga ke penghujung penggal memegang jawatan tersebut?

Atau tidak lama lagi beliau pun mungkin menuruti nasib seperti Osman Sapian juga?

-https://shahbudindotcom.net

.