MACAM ADA NADA CEMBURU SAJA BUNYINYA

Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah menempelak pemimpin Amanah sebagai tidak mampu menjaga Islam meski memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

Katanya, kalau dikira dalam konteks parti, Pas juga boleh bersama dengan PH dan jika itu berlaku, beliau mungkin sudah menjadi menteri ketika ini.

“Nak banding dengan seorang dua dalam kabinet, rasanya cerdik ambo (saya). Ambo rasa cerdik ambo.

“Selepas PRU ke-14 wartawan tanya presiden, PAS tak menyesal ke tidak bersama PH dan beliau jawab mudah. Sikit pun tak disesalkan. Tiada kesalan walaupun kita tak dapat apa-apa.

 

“Sebab matlamat kita matlamat Islam. Kalau kita duduk di Putrajaya boleh jadi menteri pun, tapi kalau setakat boleh naik kereta besar, gaji besar, bini boleh rasmi kapal tapi kita tak boleh bercakap bab Islam buat apa?

“Dijaga (kawal) bukan main dengan kereta kebal, askar tetapi nak jaga Islam tak boleh. Itu benda penting untuk kita ingat, jadi bagi kita kepentingan Islam lebih utama.

“Saya sengaja sebut nak bagi kita faham,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Tanah Merah, Kelantan.

Walaupun rasanya tidak sukar menjangka bahawa kenyataan Mohd Amar ini adalah ditujukan kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mana isteri beliau telah merasmikan kapal TLDM, KD Keris baru-baru ini, tetapi jelas tergambar ada nada cemburu dan iri hati dalam bait-bait ucapan yang disampaikannya.

Jika tidak cemburu dan iri hari, mengapakah perkara itu menjadi topik ucapannya sedangkan amalan menjemput isteri orang kenamaan, termasuk isteri menteri pertahanan untuk merasmikan kapal milik TLDM adalah amalan biasa sejak dahulu lagi?

Sabarlah wahai pemimpin Pas dan janganlah iri hati atau cemburu terhadap kejayaan orang lain. Tak baik.

Adakah berperasaan cemburu dan iri hati sehingga mencaci orang lain sebahagian daripada ajaran Islam?

Sikap beginikah yang dikatakan lebih cerdik dan mampu menjaga Islam itu?

https://shahbudindotcom.net

.