KENAPA NAJIB TENGKING, MARAH POLIS?

Sebagaimana yang dilaporkan media dan terpapar dalam video yang tersebar luas di media sosial, Najib Razak didapati menengkis dan menepis tangan seorang anggota polis yang cuba menghalang seorang pelajar yang tiba-tiba meluru kepadanya.

Pelajar terbabit menghampiri Najib kerana ingin bertanya mengapa dia tidak dibenarkan masuk untuk mengikuti perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun seorang anggota polis cuba menghalang pelajar berkenaan daripada bertanyakan soalan dengan cuba menarik tangannya ke tepi.

Najib kemudian didapati seakan menjerit “tak payah” kepada anggota polis berkenaan kerana mahu mendengar aduan yang disampaikan oleh pelajar itu.

Pelajar terbabit selepas itu terus bertanyakan soalan mengenai larangan pihak mahkamah terhadapnya.

Sebelum menjawab soalan pelajar itu, Najib dilihat sempat memalingkan mukanya kepada anggota polis yang ditengking tadi sambil mengangkat tangan dan meminta maaf kepadanya.

Dia nak tanya soalan sikit, kata Najib lagi.

Bagi menjawab soalan pelajar terbabit, Najib menjelaskan perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, sebaliknya merupakan urusan mahkamah.

Najib seterusnya masuk ke keretanya dan berlalu pergi meninggalkan mahkamah.

Hari ini adalah masuk hari keempat dalam perbicaraan Najib yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Yang menjadi tanda tanya ramai, kenapa Najib tiba-tiba naik angin, marah-marah dan menengkis anggota polis?

Bukankah beliau selama ini dikenali sebagai pemimpin yang tenang, selamba dan tidak mudah marah?

Apakah beliau dalam keadaan tertekan dengan laluan hidup yang sedang dilaluinya sekarang?

Apakah mungkin beliau lebih tertekan kerana penyokongnya semakin berkurangan menunggunya di mahkamah?

Ke mana menghilangnya para penyokong Najib yang banyak mendapat nikmat dan kekayaan ketika beliau berkuasa dahulu sebagai Perdana Menteri sebelum ini?

Mengapa ramai daripada mereka, termasuk bekas pegawainya sendiri, banyak yang menghilangkan diri dan tidak sesetia seperti penyokong Anwar Ibrahim dahulu?

-https://shahbudindotcom.net

.