ECRL BARU LEBIH MURAH, LESTARI & MESRA ALAM – KADIR JASIN

PERJANJIAN Tambahan pembinaan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang ditandatangani di Beijing pada 12 April lalu mempunyai banyak implikasi penting.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbar khas mengenainya di Putrajaya hari ini menyebut kesediaan China mengiktiraf kedudukan kewangan Malaysia sebagai perkara penting yang menyumbang kepada kejayaan rundingan semula tersebut.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantah projek era Barisan Nasional (BN) itu kerana jelas terdapat unsur-unsur yang membebankan, merugikan dan mencurigakan.

Perjanjian Tambahan yang dirundingkan oleh Tun Daim Zainuddin itu membuktikan secara sahih kecemerkapan, ketidaktelusan dan sikap sambil lewa kerajaan dahulu dalam merancang dan merundingkan projek tersebut.

Perjanjian Tambahan atau dalam bahasa Inggeris “Supplementary Agreement (SA)” itu ditandatangani di Beijing di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Malaysia diwakili di upacara itu oleh Daim manakala China oleh Dr Ning Jizhe, Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Bagi Pembangunan dan Reformasi.

Perjanjian asal ditandatangani oleh kerajaan BN pada bulan November 2016.

Mohd Najib Abdul Razak menyaksikan Perjanjian 2016

Antara ciri utama dan implikasi Perjanjian Tambahan adalah:

  1. ECRL akan menjadi projek persepakatan jangka panjang antara Malaysia dan China serta pemangkin kepada perluasan kerjasama ekonomi.
  1. Kos dikurangkan sebanyak 32.8 peratus yang berupa penjimatan RM21.5 bilion. Kos baru adalah RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion. Kos pembinaan setiap kilometer dikurangkan daripada RM95.5 juta kepada RM68.7 juta.
  1. Kos pembiayaan pinjaman dijimatkan sebanyak RM5 bilion untuk tempoh 20 tahun kerana berjaya dikurangkan daripada RM19.4 bilion kepada RM14 bilion. Komponen tempatan dinaikkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus.
  1. Laluan dipendekkan kepada 640 Km daripada 688Km dan dijajarkan semula bagi mengurangkan kemungkinan kesan negatif terhadap alam semula jadi yang sensitif seperti Banjaran Titiwangsa, Klang Gate Quartz Ridge dan biosfera Orang Asli. Panjang terowong dikurangkan daripada 16Km kepada 7Km.
  1. Bilangan negeri yang mendapat faedah bertambah daripada empat kepada lima, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan (baru) dan Selangor. Wilayah Persekutuan Putrajaya juga akan diliputi oleh laluan baru itu.
  1. Penjajaran semula akan mewujudkan jambatan darat (land bridge) di antara Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang yang dengan itu memperbaiki potensi pengangkutan kargo ECRL.
  1. Ia juga akan menghubungkan ECRL dengan Rel Ekspres KLIA (ERL) dan laluan MRT2 di stesen Putrajaya Sentral yang sekali gus memperbaiki keterkaitan penumpang Pantai Barat dengan KLIA.
Laluan baru ECRL lebih mencakupi
  1. Penumpang Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTM dari selatan akan bersambung dengan laluan ECRL di stesen Bangi/Kajang.
  1. Perjanjian tambahan itu jaga mengandungi beberapa ciri yang lebih saksama dan menguntungkan kedua-dua buah negara untuk jangka sama panjang.
  1. Yang penting dan istimewa adalah pihak China bukan lagi sekadar memberi pinjaman dan membina projek tersebut. Sekarang ia akan bersama-sama dengan kita memastikan projek ini lestari dan menguntungkan. Maksudnya, China akan turut menanggung risiko dan meraih faedahnya.
  1. Oleh sebab itulah ditandatangani juga Memorandum Persefahaman terikat di mana MRLSB dan CCCC akan menubuhkan syarikat usaha sama operasi dan penyelenggaraan atas nisbah pemilikan 50:50.
  1. Dalam bahasa yang mudah, China tidak boleh lepas tangan begitu saja setelah projek siap dibina dan meninggalkan kita untuk memikul segala beban dan risikonya. Melalui persetujuan ini, untung rugi akan dirasai bersama.

13.Dengan menjadikan ECRL sebagai pemangkin, Malaysia dan China akan memperluaskan kerjasama ekonomi. Perbincangan telah dimulakan bagi mewujudkan koridor pelaburan di hentian-hentian strategik sepanjang laluan ECRL yang melibatkan usaha sama Malaysia-China.

  1. Secara langsung, pemikiran baru ini akan menyumbang ke arah menjadikan projek “Satu Kawasan Satu Laluan” atau “One Belt One Road” (OBOR) China lebih mesra rakan kongsi.
  1. Dengan kata lain, China tidak lagi sekadar membina dan membiayai projek di negara asing menggunakan jenama OBOR tetapi turut sama memastikan projek itu lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak.
  1. Salah satu masalah besar yang dihadapi negara yang terbabit dengan OBOR adalah projek yang dibangunkan tidak mempunyai daya maju dan apabila hutang tidak dapat dibayar balik China mengambil alihnya. Ia merugikan negara tuan rumah dan mencemarkan imej China.
  1. Penerusan ECRL dalam bentuk baru turut dihubungkaitkan dengan hubungan dagangan sedia ada antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pertanian di mana kelapa sawit menjadi komponen penting.
  1. Dr Mahathir berkata, China akan menimbang untuk menambah pengimportan minyak kelapa sawit.
  1. Kerajaan tidak membuat U-turn. Dari awal lagi, pandangan PH adalah perjanjian asal yang dirundingkan dan ditandatangani oleh kerajaan BN membebankan negara dan perlu dirundingkan semula jika ECRL hendak diteruskan.
  1. Pertama, kerajaan PH percaya melalui rundingan semula segala aspek negatif boleh dihapuskan dan syarat-syarat yang lebih baik diperoleh. Maka untuk tujuan itu bekas Menteri Kewangan dua kali, Tun Daim Zainuddin dilantik menjadi perunding.
  1. Kedua, China adalah rakan perniagaan kita yang kedua terbesar selepas Singapura dan diikuti oleh Amerika Syarikat, Hong Kong (yang juga berupa wilayah khas China) dan Jepun. Jadi kita tidak boleh dan tidak mampu menyisihkan China.
  1. Ketiga, kita terpaksa menerima hakikat dan menyiapkan diri kerana China sedang bergerak pantas bagi mengambil alih kedudukan Amerika sebagai ekonomi terbesar di dunia.
  1. Jadi Perjanjian ECRL yang ditambah baik ini adalah jawapan semasa dan jangka panjang kepada usaha mengembalikan perhubungan Malaysia-China ke landasan yang betul dan menguntungkan kedua-dua negara.
  1. Ia juga membuktikan di luar pertikaian bahawa PH membuat andaian yang betul  iaitu ECRL seperti yang dimeterai oleh kerajaan BN terlalu mahal dan membebankan negara.
  1. Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Daim dan pasukannya yang bekerja keras dalam diam-diam bagi menyelesaikan kemelut ini supaya tepung tidak tumpah dan rambut tidak putus,

Wallahuaklam. Terima kasih.

NOTA Kaki: Untuk butir lengkap, pembaca dan semua pihak yang berminat boleh mendapat maklumat lanjut DI SINI.

-https://kadirjasin.blogspot.com/

.