HADI MASIH TERBELENGGU DENGAN POLITIK KAUM ATAU BELIAU TAK MAHU TOK MAT MENANG?

Presiden Pas, Hadi Awang baru-baru ini dirawat beberapa hari di IJN kerana tidak sihat.

Beliau baru saja keluar IJN dan mungkin dalam keadaan belum cukup rehat, tetapi semangatnya untuk membantu Mohamad Hasan, calon BN dalam PRK Rantau tetap tinggi.

Malam semalam beliau turun berkempen di Rantau dalam usahanya membantu Tok Mat itu.

Tidak seperti di PRK Semenyih sebelum ini di mana beliau tidak turun berkempen walaupun tidak mengalami sebarang gangguan kesihatan, kali ini dalam keadaan baru keluar IJN pun beliau tetap menggagahkan dirinya.

Dalam ceramahnya di Rantau malam semalam, Hadi secara jelas dan terang meminta pengundi memberi kemenangan kepada Tok Mat dengan alasan kawasan tersebut mempunyai majoriti pengundi Melayu di dalamnya.

Kata beliau, disebabkan ia kawasan Melayu maka pemimpin Melayu perlu dipilih sebagai wakilnya.

Sebelum ini, sebagai sebahagian agenda atau cita-cita menumbangkan PH dalam PRU15 akan datang, selain berbaik semula dengan UMNO, Pas juga telah menjalin kerjasama dengan MIC.

Hadi sendiri bersama beberapa pimpinan Pas telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pimpinan MIC di pejabat parti gabungan BN itu.

Dalam waktu yang sama, Hadi turut melontar kesediaannya untuk bekerjasama MCA, sebuah lagi parti gabungan BN untuk melengkapkan kerjasama semua kaum untuk berhadapan dengan PH dalam pilihanraya akan datang.

Tambahnya, dalam keadaan masyarakat majmuk di negara ini, Pas sedia bekerjasama dengan sesiapa saja dan tidak akan bersikap jumud mengenainya.

Tapi, apa sudah jadi sekarang?

Baru saja menjalinkan kerjasama dengan MIC dan sedia bekerjasama dengan MCA serta menyatakan enggan bersikap jumud, mengapakah di Rantau ini Hadi sudah kembali memainkan sentimen perkaumannya?

Mengapa kembali jadi jumud?

Apakah dengan sokongan pengundi Melayu semata-mata Tok Mat mampu mencapai kemenangan di Rantau?

Apakah kempen Hadi ini bermakna Tok Mat tidak memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu?

Lupakah Hadi bahawa komposisi pengundi Melayu Rantau hanya 52 peratus saja, manakala bakinya adalah bukan Melayu?

Apa masalah Hadi sebenarnya?

Beliau belum cukup sihat atau secara halus mahu Tok Mat tumbang di Rantau dengan sentimen perkauman dan politik jumud yang dimainkannya itu sedangkan selama ini tidak ada sesiapa pun, baik BN mahu pun PH, meniupkan sentimen itu?

-https://shahbudindotcom.net/

.