BAYANGKAN JIKA ADA PRK JUGA DI SEMUA KAWASAN PEMIMPIN UMNO

Belum pun Mohamad Hasan atau Tok mampu menjelaskan tentang wang RM10 juta yang dihantarnya ke London pada 2008 lalu serta kononnya beliau lupa membeli rumah di Seremban, kini timbul satu lagi dakwaan baru terhadapnya.

Ia ialah tentang sebuah rumah besar di Seremban 2 yang didakwa sebagai miliknya.

Sehingga ini Tok Mat yang merupakan calon BN PRK Rantau belum lagi tampil menjelaskan berkenaan rumah tersebut sama ada ia miliknya atau milik mana-mana ahli keluarganya.

Meskipun beberapa pemimpin UMNO cuba berhujah bahawa Tok Mat memang seorang yang kaya sebelum menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, persoalan utama ialah mengapa beliau menghantar wang ke London untuk membeli apartment menggunakan pengurup wang?

Mengapa tidak beliau tidak menggunakan bank bagi urusan pembelian tersebut?

Apa kelebihan pengurup wang berbanding bank?

Jika benar wang RM10 juta itu hasil miliknya yang tidak diragui, bukankah lebih selamat berurusan dengan baik berbanding pengurup wang?

Tetapi, daripada semua rentetan ini, yang menjadi tanda-tanya besar ialah berapakah jumlah kekayaan Tok Mat yang sebenar?

Sebagai Timbalan Presiden UMNO yang sedang memangku jawatan Presiden, ketelusan mengenai dirinya adalah penting untuk dinilai oleh rakyat.

Ini baru apartment dan rumah yang terdedah, bagaimana yang lain-lain?

Sejak bertukar kerajaan, semua pemimpin PH telah pun mengisytiharkan harta dan kekayaan mereka kepada SPRM dan ia boleh diakses oleh masyarakat umum untuk mengetahuinya.

Berikutannya, mereka diperlukan membuat pengisytiharan pada setiap tahun untuk mengetahui sama ada harta dan kekayaan itu bertambah atau sebaliknya.

Jika bertambah dengan mendadak misalnya, ia tentu boleh dipersoalkan bagaimana mereka memperolehinya.

Ini berbeza dengan era BN dahulu di mana pengisytiharan harta hanya dibuat kepada Perdana Menteri saja.

Dengan itu hanya Perdana Menteri dan bukan rakyat umum yang tahu jumlah harta serta kekayaan para pemimpin tersebut.

Dalam kes Tok Mat, satu demi satu keraguan mengenai kekayaannya hanyalah terdedah hanyalah kerana adanya PRK Rantau ini.

Jika tidak ada PRK Rantau, susah dan tiada keperluan juga untuk mendedahkannya, tambahan lagi Tok Mat sendiri dengan sinis berkata,”buat apa saya isytihar harta, saya bukan Menteri Besar lagi?”

Mengisytiharkan harta sebenarnya bukan semata-mata kerana masih ada jawatan dalam kerajaan atau tidak, tetapi selagi aktif dalam politik dan memegang jawatan dalam parti, ketelusan tentang kekayaan adalah penting untuk dinilai oleh rakyat jelata.

Namun, oleh kerana pemimpin UMNO rata-ratanya kaya belaka, maka mereka tidak mungkin sedia mengisytiharkan harta secara terbuka kepada SPRM sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PH sekarang ini.

Mujur ada PRK Rantau, maka terdedah jugalah sikit-sikit tentang kekayaan Tok Mat.

Jika tidak, kesian pengundi Rantau, baru mereka tahu rupa-rupanya wakil rakyat mereka ada rumah di London, walaupun kononnya lupa nak beli rumah di Seremban.

Bagaimana dengan pemimpin UMNO yang lain?

Dalam hal ini, cuba bayangkan jika ada PRK juga di semua kawasan pemimpin-pemimpin utama UMNO?

Barangkali ada yang akan lebih berpeluh berbanding Tok Mat kerana bukan saja kekayaan bakal terdedah, silap-silap ada isteri lain secara rahsia pun akan terdedah sama.

-https://shahbudindotcom.net/

.