BEHIND THE BOMBAST, MAT HASAN ON SHAKY GROUND? SUDDENLY EX-MB WANTS NAJIB – THE ‘FATHER’ OF KEY SENDAYAN TOWN – TO CAMPAIGN FOR HIM IN RANTAU: KENAPA TOK MAT BEGITU MENGHARAP NAJIB DATANG BERKEMPEN UNTUKNYA?

Secara tiba-tiba, calon BN PRK Rantau, Mohamad Hasan mahu Najib Razak datang melawat Bandar Sendayan sebagai sebahagian daripada acara kempen membantunya menjelang pengundian pada 13 April akan datang.

Sejak mengambil alih tugas memangku jawatan Presiden UMNO daripada Zahid Hamidi yang sedang bercuti, inilah kali pertama beliau seperti sangat mengharapkan bantuan daripada Najib.

Dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, tidak pernah Mohamad Hasan atau Tok Mat menyebut mahu Najib datang berkempen atau mengalu-alukan kehadiran bekas Perdana Menteri itu.

Paling tidak dikatanya, tidak menjadi kesalahan atau masalah dengan kedatangan Najib itu kerana ia sebahagian daripada usaha membantu BN juga.

Di suatu ketika dalam kempen PRK Cameron Highlands misalnya, beliau mengatakan bukan UMNO yang menjemput kedatangan Najib, tetapi penduduk di situ yang berbuat demikian.

Dalam erti kata lain, Tok Mat tidaklah begitu mengalu-alukan sangat kehadiran bekas Perdana Menteri yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dan kini popular dengan jolokan “malu apa bossku” itu.

Berhubung keperluan untuk Najib datang melawat Bandar Sendayan, Tok Mat berkata, bandar tersebut dapat dibangunkan adalah atas usaha bekas Perdana Menteri itu selepas 1MDB membeli tanah di situ untuk dibangunkan sebuah pangkalan tentera udara yang baru.

“Jika tidak ada bantuan daripada kerajaan persekutuan sebelum ini, khususnya Najib, pembangunan Sendayan tidak akan dapat dijalankan seperti apa yang kita lihat sekarang,” jelasnya lagi.

Tetapi, mengapakah hanya dalam PRK Rantau ini di mana beliau sendiri yang bertanding, ternampak Tok Mat begitu mengharapkan kedatangan Najib?

Apakah beliau sendiri tidak mampu meyakinkan penduduk Sendayan untuk terus menyokongnya, sedangkan dirinya adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini?

Untuk PRK Rantau ini, terdapat kira-kira 3,000 pengundi Melayu di Sendayan.

Jumlah tersebut adalah agak besar jika diambil kira hanya 53 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan 20,926 jumlah pengundi di Rantau.

Lantaran kedudukan itu, ramai yang mengatakan siapa yang mampu meraih sokongan majoriti daripada pengundi Sendayan, maka dialah akan menang pada 13 April nanti.

Apa masalah Tok Mat sebenarnya sehingga beliau begitu mengharapkan bantuan Najib?

Meskipun Tok Mat adalah Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini, tinjauan mendapati tidak sedikit penduduk Sendayan yang marah serta tidak puas hati kepadanya berhubung penjualan tanah dan pembinaan penempatan baru untuk peneroka Felda di situ.

Selain harga tanah, ramai yang agak kecewa dengan keadaan rumah yang disediakan untuk penempatan baru itu.

Ramai penduduk Sendayan melihat Tok Mat lebih memihak kepada pemaju daripada mengutamakan kepentingan peneroka Felda yang sedia menjual tanah mereka.

Untuk itu, sudah kedengaran bisik-bisik suara di Sendayan yang mahu “mengajarnya” dengan tidak memberi undi kepadanya dalam PRK Rantau ini.

Persoalan, mampukah Najib yang dikatakan berjasa mewujudkan pangkalan tentera udara dan mengubah Bandar Sendayan meredakan rasa tidak puas hati pengundi, seterusnya membantu kemenangan Tok dalam PRK Rantau ini? 

MKINI

.