PAK WAN BUAT HAL LAGI

Belum habis dengan isu kereta terbang dan sikapnya yang diperkatakan seolah-olah tidak faham dengan bidang tugas sendiri, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Mohd Yusof nampaknya buat hal sekali lagi.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan kali ini mengulas pula mengenai projek kontroversi nadir bumi, Lynas di Pahang.

Katanya, kilang Lynas akan diteruskan sebagai satu usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing melabur di negara ini.

“Kita nak beritahu kepada pelabur-pelabur bahawa kita tidak akan tutup kilang Lynas. Ia keputusan kerajaan untuk menarik lagi pelabur asing atau dalam negara untuk berkecimpung dalam pembuatan produk-produk seperti di Lynas.

“Itu penting. Ini akan beri satu signal yang jelas kepada pelabur-pelabur asing untuk datang ke sini dan saya mahu menyeru kepada pelabur asing supaya jangan gusar dan jangan khuatir kerana Malaysia Baharu ini adalah satu kerajaan yang mempromosikan suasana perniagaan yang mesra,” katanya lagi.

Alamak….apa sudah jadi ni beb!!

Pertama, sedarkah Pak Wan bahawa penentangan PH terhadap kilang Lynas dan kesannya kepada rakyat dan alam sekitar adalah perjuangan gabungan itu sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini?

Perjuangan itu sebahagiannya telah menyebabkan rakyat lebih menaruh harapan kepada PH dalam membela dan memperjuanglan kehidupan yang lebih baik buat mereka.

Apakah, melalui kenyataan Pak Wan itu bermakna setelah menjadi kerajaan sekarang, agenda perjuangan PH juga turut berubah?

Apakah PH hanya memikirkan soal kemasukan pelabur asing semata-mata tanpa memikirkan kesan sesuatu projek itu kepada alam sekitar dan kehidupan masa depan manusia?

Kedua, apakah memperkatakan tentang kilang nadir bumi, Lynas merupakan bidang tugas beliau selaku Menteri Pembangunan Usahawan?

Bukankah yang sepatutnya lebih berhak bercakap mengenai Lynas ini ialah Menteri Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim iaitu Yeo Bee Yin?

Kenapa Pak Wan pandai-pandai memberi komen dan tidak menumpukan kepada tugas hakikinya iaitu melahir dan menggalak perkembangan lebih ramai usahawan dalam negara?

Apakah rekod kejayaan beliau yang boleh diingati sejak 10 bulan lalu dalam bidang keusahawanan berbanding rakyat lebih mengenalinya kerana kereta terbang, kereta buluh dan campurtangannya berkaitan Lynas ini?

Dalam artikel sebelum ini, blog ini ada menulis mengenai menteri-menteri yang perlu ditukar kerana dilihat gagal dan berprestasi rendah di mana Pak Wan dilihat adalah salah seorang daripadanya.

Dengan beliau buat hal lagi kali ini dan bercakap mengenai Lynas yang bukan merupakan bidang tugasnya serta seolah-olah mencabuli perjuangan PH selama ini, Pak Wan barangkali sudah boleh diletakkan di senarai teratas perlu disingkirkan.

Dibimbangi, lagi lama beliau duduk di kerusi menteri, lagi merapu kelakuannya dan menyusahkan PH saja akhirnya.

Adakah sesiapa boleh berbisik kepada Tun Mahathir mengenai hal ini?

-https://shahbudindotcom.net

.