RANTAU JADI SAKSI AHLI PAS TIDAK KEKOK DENGAN UMNO LAGI

AHLI akar umbi PAS dilihat tidak lagi kekok bersama Umno apabila ratusan mereka hadir sukarela memberikan sokongan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, hari ini.

Mohamad atau dikenali dengan nama mesranya Tok Mat bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN), cuba mengekalkan kerusi yang beliau sandang sejak 2004.

Beliau akan berdepan saingan tiga lagi calon lain iaitu Dr S Streram dari Pakatan Harapan (PKR) dan dua calon bebas Malarvizhi Rajaram serta Mohd Nor Yassin.

Ahli akar umbi PAS yang ditemui The Malaysian Insight memberitahu mereka datang menunjukkan sokongan kepada calon BN bukan atas arahan parti, tetapi dengan usaha sendiri.

“Selepas subuh tadi kita sudah berkumpul untuk berkonvoi ke sini (dari Seremban),” kata Muhd Amar Osman, yang datang ke Sendayan bersama ahli Kelab Sukan Bermotor Alternatif (ARC) PAS Negeri Sembilan,

Katanya, mereka bukan saja datang pada hari ini untuk menunjukkan sokongan tetapi akan juga membantu kempen BN sehingga pengundian pada 13 April nanti.

“Kita juga sudah susun program pada minggu hadapan untuk jelajah ke setiap PDM (pusat daerah mengundi) di Dun Rantau,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Selain ARC PAS Negeri Sembilan, ARC PAS Selangor dan ARC PAS Melaka juga hadir, tambah Amar.

Pada 6 Mac lalu, Umno dan PAS mengumumkan kerjasama secara rasmi yang akan memfokuskan aspek penyatuan ummah, atas dasar kebersamaan terhadap isu-isu yang mempunyai asas kepada kedua-dua parti.

Sebagai tanda kerjasama kedua-dua parti, PAS mengambil keputusan untuktidak bertanding pada PRK Rantau dan memberi laluan kepada Umno.

Jawatankuasa Kerja Teknikal yang dipengerusikan bersama oleh naib presiden kedua-dua parti kini sedang memperincikan bentuk kerjasama seterusnya termasuk kerjasama dalam setiap PRK.

Bagi Yang Dipertua PAS Kawasan Tampin Ishak Maasin, kerjasama yang wujud pada hari ini dapat direalisasikan selepas pimpinan atasan melihat sambutan yang diterima oleh akar umbi.

“Kita nampak sudah lama seakan ada kerjasama antara Umno dan PAS di peringkat atasan namun tidak seperti yang kita lihat pada hari ini.

“Pucuk pimpinan menunggu reaksi akar umbi. Pada kita yang di bawah ini, penyatuan ummah yang berlaku ini tidak merugikan PAS,” katanya.

Pemerhatian The Malaysian Insight mendapati terdapat juga ahli-ahli PAS dari Johor, Perak dan Kedah yang hadir pada penamaan calon pagi tadi.

Sementara itu ahli PAS Bandar Tun Razak Muhayidin Azaman berkata, beliau hadir kerana Umno dan PAS memerlukan sokongan sepenuhnya daripada ahli masing-masing.

“PAS dengan Umno tidak mungkin boleh rampas Putrajaya jika bergerak ikut jalan masing-masing.

“Pastikan satu lawan satu. Jangan ulangi kesilapan PRU lepas tanding tiga penjuru,” tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal.

the malaysian insight

.