DEBARAN RANTAU BERMULA, KEKALAHAN TOK MAT LEBIH BAIK BUAT ZAHID HAMIDI DAN KJ

Berbanding berapa pilihanraya kecil sebelum ini, PRK Rantau adalah paling menarik untuk diperhati dan dianalisa.

Proses penamaan calon telah pun selesai pagi tadi dengan pengundian pada 13 April nanti akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Mohamad Hasan atau Tok Mat yang mewakili BN akan ditentang oleh calon PH, Dr. Streram serta dua calon Bebas iaitu R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Sebagaimana yang dimaklumi sejak awal, persaingan sebenar PRK Rantau ini adalah antara BN dan PH saja, manakala calon Bebas yang bertanding tidak lebih sebagai pengacau dan mungkin bakal hilang wang pertaruhan mereka.

Antara yang menarik tentang PRK Rantau ini ialah ia kerana calon BN yang bertanding ialah Pemangku Presiden UMNO sendiri.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah di mana seorang Pemangku Presiden UMNO bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil.

Dengan itu, kalah atau menangnya beliau nanti akan memberi banyak kesan kepada beberapa perkara lain berkaitan UMNO.

Jika Tok Mat menang, UMNO yang baru menjalin kerjasama dengan Pas tentu saja lebih bersemangat untuk menghadapi PRU15 akan datang.

Ini akan menjadikan tiga kemenangan berturut-turut diraih UMNO, termasuk Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini dan ia akan dilihat sebagai gambaran kembalinya sokongan rakyat kepada parti itu.

Di waktu yang sama, kemenangan Tok Mat akan menjadikan Zahid Hamidi mungkin menyambung lagi cutinya lebih lama atau membuatkan beliau bersara terus daripada politik dan menumpukan kepada kes mahkamahnya saja.

Namun demikian, kemenangan Tok Mat juga bakal menimbulkan konflik antara beliau dengan Khairy Jamaluddin selaku Ahli Parlimen Rembau sekarang.

Ini kerana dengan terus menang di Rantau, selain atas kedudukannya selaku Pemangku Presiden UMNO, Tok Mat tentu saja lebih teringin untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam PRU15 akan datang berbanding terus kekal di kerusi DUN ini.

Tidak pernah dalam sejarah UMNO sebelum ini, Presiden, Timbalan Presiden atau Pemangku Presidennya bertanding di kerusi DUN. Semuanya bertanding di kerusi Parlimen.

KJ yang kalah bertanding Presiden UMNO pada pemilihan lalu adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, manakala Tok Mat adalah Ketua Bahagiannya.

Dalam situasi itu, jika Tok Mat memilih untuk bertanding di Parlimen Rembau dalam PRU akan datang, di mana KJ akan dipindahkan?

Tetapi, jika Tok Mat kalah di Rantau ini, kedudukan KJ untuk terus bertanding di Rembau dengan sendirinya akan selamat.

Di situasi yang lain, kekalahan Tok Mat di Rantau juga tidak mustahil akan membuatkan Zahid Hamidi segera memendekkan percutiannya dan kembali sebagai Presiden UMNO secara sepenuh masa.

Dalam erti kata lain, dalam konteks UMNO, meskipun Tok Mat lebih mengharapkan kemenangan memihak kepadanya, Zahid Hamidi dan KJ sebaliknya lebih selesa dan damai hati mereka jika bekas

MB Negeri Sembilan itu tewas kepada Dr. Streram.

Di pihak PH pula, walaupun yang bertanding di Rantau ialah Dr. Streram, tetapi ramai yang melihat PRK ini adalah pertandingan yang melibatkan maruah Anwar Ibrahim.

Dengan kedudukan sebagai Presiden PKR, Ahli Parlimen Port Dickson dan bakal mengambil alih teraju pentadbiran negara daripada Tun Mahathir Mohamad tidak berapa lama selepas ini, kemenangan di Rantau adalah penting bagi Anwar.

Kemenangan itu akan dilihat sebagai gambaran keyakinan rakyat terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri masa depan.

Apatah lagi, dalam tiga PRK sebelum ini yang ditandingi oleh PKR iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Port Dickson, semuanya membuahkan kemenangan yang membanggakan buat parti itu.

Meski demikian, menyedari perbezaan Rantau dengan tiga PRK sebelum ini, lebih-lebih lagi lawan kali ini ialah Tok Mat selaku Pemangku Presiden UMNO yang turut dibantu oleh Pas, kalau pun tidak menang, dapat memberi saingan sengit dan kalah dengan undi yang tipis pun sudah memadai sebenarnya sebenarnya.

Tambahan lagi, komposisi pengundi di Rantau agak unik iaitu Melayu 53 peratus, India 27 peratus dan Cina 18 peratus, ia membuatkan PH yang meletakkan Dr. Streram perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan undi yang seimbang daripada semua segmen kaum di kawasan itu.

Cabaran PH yang paling sukar ialah kemungkinan UMNO dan Pas akan memainkan sentimen kaum dan agama secara berlebihan demi mengelakkan undi Melayu tidak pergi kepada PH.

Jika banyak undi Melayu dapat dicuri oleh PH melalui pengaruh dan turun padang Anwar serta dibantu oleh Bersatu dan Amanah, di samping dapat mengekalkan penguasaan undi bukan Melayu, kemenangan adalah dalam tangan buat Dr. Streram pada malam 13 April nanti.

Tetapi, ia tidaklah semudah melihat angka di atas kertas kerana Tok Mat adalah Adun Rantau dan MB Negeri Sembilan sejak 2004 lagi, meskipun boleh dikata tiada pembangunan yang membanggakan dibawanya dan pekan Rantau tidak ubah umpama pekan “koboi” saja keadaannya.

Melihat keadaan pembangunan di Rantau, sesiapa pun tak terbayang wakil rakyatnya selama ini pernah menjadi MB Negeri Sembilan.

Masih mahukah pengundi mengekalkan beliau lagi?

-https://shahbudindotcom.net/

.