BAGUSLAH KALAU BETUL TIADA SIAPA CUBA HALANG ANWAR DARIPADA JADI PM

Seorang penyokong dan pentaksub Tun Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan membidas dakwaan wujudnya sebarang cubaan untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Katanya, tiada cubaan sama sekali untuk menghalang Anwar daripada menjadi pengganti kepada Tun Mahathir sebagaimana yang sudah dipersetujui oleh PH.

Khairuddin berkata demikian sebagai mengulas tweet Zaid Ibrahim yang mengatakan sebarang cubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri tidak akan menemui kejayaan.

Sehubungan itu, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mahu Nurul Izzah yang dilaporkan patah hati dengan perkembangan politik semasa agar terus berani bersuara dan yakin dengan apa yang dilakukannya.

Dalam hal tersebut, Khairuddin meminta Zaid agar menamakan individu yang didakwanya cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri di masa akan datang itu.

Isu peralihan kuasa kepada Anwar menjadi bualan kembali sehari dua ini berikutan wawancara Nurul Izzah dengan sebuah akhbar Singapura, baru-baru ini yang menyentuh beberapa aspek dengan kepimpinan Tun Mahathir.

Antara lain Nurul Izzah menyatakan kesukaran bekerja dengan Tun Mahathir sebagai bekas diktator, selain meluahkan kecewanya dengan kemasukan bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu.

Reaksi Khairuddin terhadap apa yang disebut oleh Zaid tidaklah memeranjatkan sebenarnya, tetapi kebimbangan orangramai terhadap sikap Tun Mahathir bukanlah sesuatu yang mudah untuk diketepikan begitu saja.

Dalam soal pengganti dan ingin berundur atau melepaskan jawatan, Tun Mahathir terbukti telah banyak kali bertindak lain daripada apa yang kerap disebutnya.

Hanya kepada Tun Abdullah Badawi saja beliau benar-benar menyerahkan jawatannya, namun kemudian keluar daripada persaraannya untuk menyingkirkan kembali penggantinya itu.

Bagaimanapun, jika benar seperti kata Khairuddin bahawa tiada sebarang cubaan untuk menghalang Anwar dan peralian kuasa kepadanya akan tetap berjalan seperti yang dijanjikan, ia tentulah sesuatu yang bagus untuk masa depan PH.

PH akan terus kukuh dan berpadu jika janji peralihan kuasa itu ditepati sebagaimana yang dipersetujui.

PH tentu saja akan berantakan dan berpecah kiranya Tun Mahathir cuba berdalih dan tidak mahu menepati janji tersebut.

Segala-galanya terserah kepada Tun Mahathir sama ada beliau mahu melihat PH ini terus stabil atau sebaliknya.

-https://shahbudindotcom.net

.