SEJAK BILA HADI AWANG JADI PEMBELA TUN MAHATHIR?

Presiden Pas, Hadi Awang menolak tanggapan bahawa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin diktator.

Sebalilnya, kata beliau, Tun Mahathir hanyalah seorang yang tegas dalam menjalankan tugasnya.

Penegasan Hadi ini ialah sebagai menolak apa yang disebut oleh Nurul Izzah Anwar dengan wawancara dengan akhbar Singapura baru-baru ini yang melabel Tun Mahathir sebagai bekas diktator.

Dalam wawancara itu, Nurul Izzah antara lain menyebut, “Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja kepada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara), ia bukanlah sesuatu yang mudah”.

Persoalannya sejak bila Hadi Awang jadi pembela kepada Tun Mahathir?

Adakah Pas sudah melupakan era pemerintahan Tun Mahathir bersama UMNO dan BN selama 22 tahun sebelum ini yang penuh kontroversi, banyak operasi penangkapan dan bagaimana musuh-musuh politiknya telah dilumpuhkan?

Jika diselak sejarah lalu, bukan saja ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini atau ketika beliau berjuang untuk menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN dahulu, apa perkataan yang tidak keluar daripada mulutnya dan para pemimpin Pas yang lain terhadap Pengerusi PH itu?

Di suatu ketika Hadi Awang juga begitu menghina percubaan Tun Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri dengan mengatakan Pengerusi Bersatu itu hanya layak menjadi doktor di Klinik 1Malaysia saja.

Kalau pun Hadi mungkin tidak pernah melabelkan Tun Mahathir sebagai diktator, tetapi tidak dinafikan ramai pemimpin Pas yang berbuat demikian.

Tidak cukup dengan itu, label yang lebih teruk seperti kafir, taghut dan munafik juga adalah perkataan-perkataan yang menjadi mainan untuk ditujukan kepada kepada UMNO dan Tun Mahathir ketika itu.

Kenapakah tiba-tiba sekarang ini Hadi begitu bersungguh-sungguh mahu jadi pembela kepada Tun Mahathir?

Ikhlaskah perbuatan dan tindakan itu atau ia hanya untuk memecah-belahkan PH dan menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri dengan harapan supaya gabungan UMNO dan Pas mampu mengambil alih kuasa dalam PRU15 akan datang?

Kiranya benar Hadi Awang ingin mempertahankan Tun Mahathir, bukan saja berkaitan gelaran diktator, tetapi juga atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, bukankah lebih baik jika Pas memutuskan terus hubungannya dengan UMNO dan bergabung saja dengan Bersatu?

Apakah pendirian Pas sebenarnya di mana di satu sudut parti itu dilihat cuba membela Tun Mahathir, namun dalam masa yang sama masih lagi bersama UMNO yang mahu menumbangkan PH?

Tidakkah ini mengelirukan ahli-ahli Pas sendiri?

-https://shahbudindotcom.net

.