MENYISIHKAN DAP TIDAK MENGUNTUNGKAN UMNO & PAS

MCA sebenarnya tidak lagi mewakili majoriti kaum Cina. Rata-rata pengundi Cina sekarang boleh dikatakan menyokong parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH). DAP, tidak seperti MCA, adalah sebuah parti yang berbilang kaum. Kaum Cina juga menjadi ahli PKR sebuah parti yang berbilang kaum. Mereka tidak keberatan menyokong parti Bersatu dan Amanah kerana parti-parti ini adalah sekutu PH yang berbilang kaum.

Bagi Umno dan PAS pula DAP disinonimkan dengan kaum Cina dan kononnya ia menjadi “ancaman” kepada kaum Melayu dan Islam.  Maka timbullah persepsi dalam kalangan kaum Cina bahawa sikap Umno dan PAS “bermusuh” dengan DAP sama seperti bermusuh dengan kaum Cina.

Umno dan PAS yang ketandusan modal dan  kerana kepentingan politik sengaja mahu melabelkan DAP sebagai parti “cauvinis” dan memberi suatu persepsi salah kepada umum bahawa “DAP ialah parti Cina”. Pendekatan begini telah menyebabkan majoriti pengundi Cina meminggirkan MCA, Gerakan, Umno dan PAS dan berpaling kepada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.  Namun, bagi Umno dan PAS mereka juga mengharapkan undi kaum Cina jika mahu menawan Putrajaya kerana tidak semua pengundi Melayu menyokong mereka. Apatah lagi dengan keadaan sekarang di mana Umno dan PAS terpalit dengan beberapa isu yang melibatkan integriti.

Akhir-akhir ini Umno bersama PAS menjadikan DAP sasaran kritik untuk menghidupkan semula kegagalan kerjasama mereka dalam PRU14.  Dalam kalangan mereka ada yang sanggup membuat macam-macam kritikan terhadap pemimpin DAP dan ini disalurkan secara meluas melalui media sosial yang tidak terkawal. Mungkin juga ini kerana  iri hati apabila melihat beberapa pemimpin DAP dalam kerajaan PH yang berjaya menjalankan tugas mereka sebagai menteri.

Tidak semua pengundi Melayu menyokong Umno dan PAS

Melihat kepada demografi penduduk Malaysia, kira-kira 55 peratus adalah Melayu-Muslim, 14 peratus Bumiputera lain, 23 peratus adalah kaum Cina, 7 peratus kaum India dan 1 peratus kumpulan etnik minoriti yang lain. Jelas bilangan kaum Cina adalah terlalu kecil dan tidak mungkin mereka akan mengambil alih kuasa politik negara ini daripada kaum Melayu.

Lagi pun populasi kaum Cina akan menyusut di masa-masa akan datang kerana kadar kelahiran kaum ini jauh lebih rendah daripada kaum Melayu. Kenapa pula Umno dan PAS harus gerun dengan DAP yang dianggotai ramai kaum Cina? Atau ini hanya merupakan gimik politik untuk mengelirukan kaum Melayu?  

Umno dan PAS tahu pun bahawa DAP dan kaum Cina bukanlah menjadi ancaman kepada kaum Melayu tetapi mereka sengaja mahu menimbulkan isu perkauman dan menjadikan DAP “sasaran penumbuk” mereka untuk meraih sokongan dan mengubah persepsi pengundi Melayu terhadap PH yang dianggotai DAP. Tetapi tidak semua pengundi Melayu akan terjebak ke dalam jerat yang dipasang Umno dan PAS. Hakikatnya, tidak semua pengundi Melayu menyokong Umno dan PAS.

PH masih merupakan gabungan yang mencerminkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan dipimpin oleh perdana menteri dari kaum Melayu. Kaum Melayu pun sedar bahawa menteri-menteri DAP yang dilantik dalam kabinet PH sekarang adalah antara yang berkebolehan dan sedang berkhidmat dengan ikhlas untuk membangunkan negara.

Tiada apa-apa bukti pun yang DAP atau kaum Cina anti Islam atau mereka mengancam kedudukan kaum Melayu dan Islam. Negara ini sejak merdeka lagi telah dipimpin oleh perdana menteri Melayu beragama Islam. Kaum Cina tetap menerima hakikat ini. Kaum Cina bukan kaum yang tidak bersyukur malah telah banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara yang boleh dinikmati bersama kaum-kaum lain.

Pernah dalam banyak pilihan raya yang lalu, pengundi Cina memberi sokongan mereka kepada PAS dan Umno. Ketika itu Umno masih mantap bersama rakan-rakan mereka dalam Barisan Nasional(BN) dan PAS pula pada ketika itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dengan slogan politik  “PAS for ALL”. Umno dan PAS pada ketika itu dilihat parti yang berwatak sederhana dan tidak pun berbau perkauman atau terlalu sentrik kepada keagamaan. Kini Umno dan PAS mengalami suatu anjakan politik yang ketara dan kerana ketandusan modal, kaum dan agama dijadikan isu politik mereka.

Pada PRU14 majoriti pengundi Cina memberi undi mereka kepada PH, kerana BN dilihat sebagai parti kleptokrat dan PAS pula dilihat sebagai parti yang lebih condong ke arah keagamaan. Ini berlaku bukan kerana isu perkauman tetapi prinsip sebagai pengundi yang mahukan negara dipimpin sebuah gabungan yang bersih, sederhana dan tidak ekstrem atau berasaskan perkauman. Umno dan PAS adalah parti kaum Melayu tetapi semua parti dalam PH juga mempunyai kaum Melayu sebagai ahli. Maka PH telah dipilih sebagai alternatif kepada BN dan PAS.

Persepsi rakyat mula berubah terhadap DAP

DAP sekarang tidak lagi dipandang rakyat sebagai sebuah parti perkauman dan ia boleh diterima kaum Melayu yang berfikiran terbuka. Setelah bersama Bersatu, PKR dan Amanah persepsi rakyat mula berubah terhadap DAP.  DAP tidak pernah memainkan sentimen perkauman untuk meraih undi. Malah DAP tidak pernah pun menunggang agama untuk mencari penyokong. Umno dan PAS harus menyedari realiti ini dan laungan mereka bahawa DAP sebagai sebuah parti yang melampau dan PH diperkuda oleh DAP hanya merupakan retorik politik picisan.  Ia semata-mata untuk kepentingan politik dan untuk “menakut-nakutkan orang Melayu” bahawa mereka akan hilang kuasa.

Kaum Cina maju jaya kerana mempunyai ciri daya tahan yang cekal.  Pada umumnya mereka dianggap lebih kaya daripada etnik-etnik yang lain di negara ini. Majoriti kaum Cina berdikari dan kaya raya kerana mereka menceburkan diri dalam perniagaan. Mereka tidak mengharapkan sangat bantuan daripada kerajaan. Ini adalah kelebihan mereka.  DAP atau kaum Cina yang bilangan mereka kecil tidak berhasrat untuk mengambil alih negara dari segi politik. Mereka lebih selesa jika boleh maju dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Justeru Umno dan PAS tidak perlulah membuat helah politik dan cuba menyemaikan di hati rakyat perasaan kebencian terhadap DAP.

Kaum Cina telah banyak membantu membangunkan negara ini dan membina Malaysia yang lebih baik untuk semua kaum. Daripada membidas kaum Cina, kumpulan etnik yang lain harus bersyukur ke atas sumbangan kaum Cina terhadap ekonomi negara.  Malangnya kerana dendam politik Umno dan PAS sengaja tidak mahu menerima realiti ini. Prasangka terhadap pemimpin berdasarkan etnik tidak lagi sesuai dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia. Gelombang politik berteraskan kaum dan perkauman tidak boleh diterima di negara ini.

Politik yang agak kurang matang

Sumbangan kaum Cina kepada negara harus diiktiraf. Begitu juga sumbangan kaum-kaum lain di negara ini. Sejak lama kaum Cina telah membantu membina negara ini di bidang ekonomi. Sektor perindustrian, pembuatan dan pertanian maju kerana usaha gigih mereka. Bandar-bandar di negara ini meriah, teguh dan berkembang pesat disebabkan oleh kaum Cina dengan perusahaan dan perniagaan mereka. Tidak boleh dinafikan bahawa bandar-bandar kita umumnya dan pada mulanya dibina oleh kaum Cina. Bayangkan saja tanpa sumbangan kaum Cina, apakah negara kita akan menjadi maju seperti apa yang kita kecapi hari ini?

Semasa negara menghadapi krisis ekonomi 1998 peniaga Cina tidak membungkus dan meninggalkan negara ini apabila negara terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi ketika itu. Mereka kekal di sini dan membantu kerajaan memulihkan ekonomi yang telah merudum. Kaum Cina juga membayar cukai perniagaan tertinggi untuk membantu membangunkan sektor-sektor lain. Secara tidak langsung, kaum Cina membantu kaum lain dan pada masa yang sama membantu membangunkan negara. Namun demikian, terdapat juga golongan miskin dalam kalangan mereka dan mereka memerlukan bantuan.

Negara ini ditakdirkan berbilang kaum dan keharmonian kaum amat penting untuk memastikan negara sentiasa aman. Golongan yang kecewa dalam politik tidak perlu membangkitkan insiden 13 Mei 1969 untuk menakut-nakutkan kaum Cina kerana insiden ini telah menjadi sejarah.  Mana-mana rusuhan kaum jika berlaku hanya akan merugikan semua kaum. Tidak ada satu pun kaum di negara ini mahu melihat rusuhan berlaku. Dalam demokrasi, biarkan rakyat memilih mana parti yang mereka sukai asalkan ia tidak menimbulkan masalah kepada negara.

Bukanlah majoriti pengundi Cina sekarang tidak berkenan dengan Umno atau PAS tetapi mereka lebih cenderung memilih parti yang berbilang kaum dan yang tidak memainkan isu-isu kaum dan agama. Ini tidak bermakna mereka adalah “musuh” orang Melayu dan Islam atau tidak berterima kasih kepada negara. Maka menjadikan DAP sasaran politik oleh Umno dan PAS merupakan politik yang agak kurang matang.  

Moaz Nair

.