JOHOR, NEGERI PERTAMA BAKAL TUMBANG?

Meskipun kedudukan kerajaan PH di Johor nampak tenang dan kelihatan berjalan seperti biasa serta tiada isu yang menggugat kestabilannya, tetapi sebenarnya ia berada dalam keadaan yang sangat rapuh untuk mengekalkan kedudukannya dalam PRU akan datang.

Sebahagian besar masalah di Johor ialah melibatkan karenah dan intergiti Menteri Besarnya, Osman Sapian.

Sejak awal dilantik ke jawatan itu lagi, ramai bangsa Johor yang mula geleng kepala dan sukar menerima beliau sebagai peneraju negeri itu.

Sebelum PRU14 lalu, bayangan sebahagian besar pengundi Johor jalah jika UMNO berjaya ditumbangkan, kalau pun tidak Muhyiddin Yassin, sekurang-kurangnya Salahuddin Ayub yang mereka harapkan akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Ia diperkuatkan lagi dengan Muhyiddin dan Salahuddin bertanding dua kerusi iaitu Parlimen dan juga Dun di Johor ketika itu.

Muhyiddin, selain bertanding di Parlimen Pagoh, beliau turut sama bertanding di Dun Gambir. Beliau menang kedua-dua kerusi tersebut.

Salahuddin juga bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di mana beliau menang kedua-duanya.

Tetapi, apabila Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor, manakala Muhyiddin dan Salahuddin diberikan jawatan menteri pusat, ramai yang mula kecewa dan tawar hati.

Episod kekecewaan dan tawar hati itu kemudian berkembang apabila Osman didapati melantik individu yang mesra UMNO sebagai kakitangannya serta dikatakan meneruskan pemberian projek-projek kerajaan kepada kroni-kroni UMNO berbanding penyokong PH.

Ramai pendokong PH yang tampak kecewa kerana Osman dilihat tidak mesra terhadap penyokong sendiri yang telah berjaya membawa parti berubah daripada pembangkang menjadi kerajaan.

Seterusnya tersebar pula berita di media-media sosial berkenaan isterinya yang pergi merasmikan program-program kerajaan sebagai mewakilinya.

Aduh…apa nak jadi dengan beliau ini?

Isu seterusnya ialah berkaitan kelayakan akademiknya yang menjadi pertikaian. Meskipun beliau selepas itu mengakui tidak pernah memiliki ijazah, namun kelulusan palsunya sebelum ini telah pun dimasukkan dalam warta rasmi kerajaan Johor.

Dengan itu, tembelangnya yang tidak berjaya ditutup itu telah menambah lagi hilangnya keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Terbaru, imej beliau sebagai ketua kerajaan negeri merudum lagi apabila pemergiannya ke Batam terdedah di ketika rakyat Pasir Gudang sedang bergelut diancam bahaya toksid akibat pencemaran bahan buangan kimia di Sungai Kim Kim.

Ramai yang mempersoalkan, mengapakah Osman tidak membatalkan saja pemergiannya dan mewakilkan kepada Exconya saja ke Batam itu?

Apakah beliau tidak sedar atau tidak tahu keutamaannya sebagai ketua kerajaan negeri?

Bersama semua isu yang membelenggu Osman itu dan mengakibatkan nama PH selaku pentadbir kerajaan negeri terus terjejas, sungutan demi sungutan serta desakan agar beliau ditukarkan kian kedengaran di mana-mana sekarang ini.

Beberapa kelompok yang dalam PRU14 lalu diketahui mengundi PH, kini secara terbuka mengatakan tidak mahu lagi memberikan undi mereka kepada gabungan itu dalam PRU akan datang jika Osman masih ada di kedudukannya sekarang.

Kelompok ini bukan saja daripada pejuang dan penyokong parti, tetapi juga merangkumi segmen tertentu dalam perjawatan kerajaan sendiri.

Bagi majoriti penyokong dan pengundi PH, susah payah dan kesatuan mereka menolak BN seolah-olah tidak berbaloi dengan pelbagai karenah yang ditunjukkan Osman selaku Menteri Besar Johor.

Berbanding Perak atau Kedah yang hanya ada majoriti tipis ketika membentuk kerajaan selepas pilihanraya lalu, namun kedudukan kedua-dua kerajaan negeri itu tidaklah serapuh Johor dalam menghadapi cabaran mendatangnya.

Jika PH masih juga mengekalkan Osman sehingga pilihanraya akan datang, sementara kerajaan negeri lain masih ada harapan untuk dipertahankan, Johor nampaknya akan menjadi negeri pertama yang akan ditumbangkan oleh pengundi yang dahulu memenangkannya.

Mungkin sukar untuk mengharapkan Muhyiddin atau Salahuddin dibawa menerajui Johor, tetapi mengekalkan Osman adalah tindakan yang jelas menempah maut bagi PH.

Yang rakyat Johor mahukan ialah Osman mesti ditukarkan jika ingin ada harapan PH dikekalkan lagi. Kalau pun pun bukan Muhyiddin atau Salahuddin, sesiapa juga boleh diterima, asalkan bukan Osman yang terus dikekalkan.

Berbual dan berjumpalah dengan pelbagai kelompok pengundi Johor sekarang, ghairahnya mereka mahu menukar kerajaan sama seperti mereka ingin menumbangkan UMNO sebelum PRU14 dulu. 

-https://shahbudindotcom.net

.