SEPATUTNYA GUAN ENG ATAU AZMIN, BUKANNYA DAIM

Kerajaan nampaknya tidak ada pilihan lain selain meneruskan projek ECRL atau Laluan Keretapi Pantai Timur berikutan terikat dengan perjanjian dengan China, selain tidak mahu berlaku pembaziran kerana sebahagian kerja-kerja telah pun dilaksanakan.

Bagaimanapun, kerajaan mahu melaksanakannya dalam kos yang munasabah lantaran jumlan RM55 bilion yang dipersetujui sebelum ini dianggap terlalu tinggi dan akan membebankan kerajaan dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, rundingan dengan China akan dilakukan bagi tujuan tersebut.

Dalam hal ini, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan di Parlimen berhubung perlantikan Tun Daim Zainuddin sebagai utusan khas untuk melakukan rundingan dengan China itu.

Kata Tun Mahathir, Tun Daim dipilih berasaskan kebolehan tertentu yang ada padanya kerana apabila berunding, kita perlu ada orang yang berupaya diterima dengan selesa oleh pihak lain.

“Kita pilih orang yang lebih berkelayakan dan berkebolehan untuk berunding dengan China supaya keputusan menang-menang dapat dicapai akhirnya,” jelas Perdana Menteri lagi.

Soalnya, kenapa Tun Tun Daim?

Mengapa tidak Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan atau Azmin Ali yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang dipilih untuk mengetuai rundingan dengan China itu?

Apakah kedua-dua menteri kanan itu tidak berkelayakan untuk berunding dengan China atau mereka kurang dipercayai oleh Tun Mahathir?

Oleh kerana ECRL adalah projek kerajaan, seharusnya menteri kanan iaitu sama ada Guan Eng atau Azmin atau kedua-duanya secara bersama yang patut dilantik mengetuai rundingan itu berbanding Tun Daim yang tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Lagi pun, Azmin misalnya telah pun dilantik mengetuai rundingan bagi pihak kerajaan dengan negara jiran kita berhubung Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura.

Bermakna, jika Azmin boleh dipilih untuk berunding dengan Singapura, mengapa beliau bersama Guan Eng tidak boleh dilantik untuk berunding dengan China?

Apa kurangnya mereka?

Apakah pengalaman Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal dan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini tidak cukup layak untuk mereka dilantik mengetuai rundingan dengan China?

Selain itu, jika sehingga sekarang pun Tun Mahathir lebih mempercayai Tun Daim berbanding menteri-menteri kabinetnya sendiri, bila lagi mereka itu mahu belajar dan menimba pengalaman sendiri dalam soal rundingan di peringkat yang lebih tinggi?

Ini kerajaan PHlah, janganlah asyik-asyik Tun Daim saja yang diberi keutamaan!! 

https://shahbudindotcom.net

.