HUJAH TUN M SUNGGUH MELOYAKAN, APAKAH PH HANYA MAMPU BERDIAM DIRI SAJA?

Di sebalik desakan yang kian melata, baik daripada PH sendiri mahupun daripada UMNO yang mahu agar jawatan Pengerusi PAC dikembalikan kepada pembangkang, Tun Mahathir Mohamad tampaknya tetap berkeras enggan berbuat demikian.

Kata beliau, PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan terus diketuai oleh Ronald Kiandee, biar pun Ahli Parlimen Beluran itu kini adalah ahli Bersatu.

Mempertahankan pendiriannya, Tun Mahathir berkata, PH telah memenuhi janji manifesto apabila melantik Ronald Kiandee yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen UMNO sebagai Pengerusi PAC.

“Tetapi, kalau dia kemudian nak pilih masuk parti kerajaan, apa kita boleh buat?

“Bukan ketika dilantik dia daripada parti kerajaan, dia daripada parti lawan,” ujar Tun Mahathir lagi.

Hmmmm….beginikah hujah seorang Perdana Menteri dan tidakkah ia semacam kata-kata mat rempit saja?

Bolehkah diterima hujah atau alasan Tun Mahathir ini?

Sebagai manusia yang berakal dan berpegang kepada prinsip, tidakkah hujah atau alasan Tun Mahathir ini sungguh-sungguh meloyakan untuk diterima?

Kenapakah beliau sukar sangat mahu mengembalikan jawatan Pengerusi PAC itu kepada pembangkang sedangkan ia adalah urusan yang mudah dan senang saja?

Apa yang mahu dipertahankannya melalui PAC dan jawatan yang disandang oleh Ronald Kiandee itu?

Sesungguhnya pendirian Tun Mahathir berhubung kedudukan Pengerusi PAC ini bukan saja mengecewakan, tetapi juga amat meloyakan lagi memualkan.

Tun Mahathir kini nampaknya sudah kembali kepada perangai lama ketika beliau menjadi Perdana Menteri bersama BN dahulu iaitu suka berbuat sesuka hati menurut kehendak dirinya sendiri.

Sedarkah beliau bahawa PH adalah berbeza dengan BN?

Yang nyata, tindakan Tun Mahathir ini sekurang-kurangnya harus diberi diberi perhatian dari segi dua aspek:-

Pertama, jika beliau berterusan sesuka hati memungkiri janji, lebih-lebih lagi dengan hujah yang begitu meloyakan untuk diterima oleh akal yang waras, kesannya ialah PH akan semakin hilang wibawa dan menurun kepercayaan di kalangan rakyat jelata.

Kalau janji pun sesuka hati boleh dimungkiri, apa lagi yang boleh rakyat percaya atau yakini terhadap sesebuah kerajaan?

Untuk itu, Majlis Presiden PH harus segera berbuat sesuatu untuk mengingatkan Tun Mahathir berhubung janji-janji gabungan itu kepada rakyat dan kesannya kepada masa depan PH sendiri.

Kedua, tindakan Tun Mahathir ini harus juga diiperhati dan diteliti dari segi kaitannya berhubung peralihan kuasa daripada beliau kepada Anwar Ibrahim.

Jika jawatan Pengerusi PAC yang dipegang oleh orang lain pun beliau sayang untuk melepaskannya kepada pihak yang sepatutnya, adakah jawatan Perdana Menteri yang penuh dengan segala nikmat yang sedang disandangnya sekarang ini beliau turut tidak terasa sayang untuk menyerahkannya kepada Anwar?

Apakah tidak mungkin janji peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun kepada Anwar juga akan dimungkirinya?

Meski Tun Mahathir tidak dinafikan cekap dalam mereka-reka alasan atau hujah untuk berbuat demikian, sekali lagi, adalah penting untuk Majlis Presiden PH sentiasa dan kekal berpegang kepada perjanjian yang telah dipersetujui mengenai peralihan kuasa itu.

Dalam PH ini, jangan dibiarkan Tun Mahathir berbuat sesuka hati ala Maharaja yang kata-katanya mesti didengar dan diikuti sebagaimana beliau pernah melakukannya ketika bersama BN dahulu.

Ingatlah bahawa gabungan PH ini dulunya diwujud dan diasaskan adalah untuk melawan kebobrokan kepimpinan Tun Mahathir ketika beliau bersama BN yang mana daripada situlah lahirnya idea-idea reformasi untuk negara ini.

Setelah beliau kini bersama PH dan Tun Mahathir nampaknya semakin menunjukkan trend ingin kembali kepada amalan lamanya sewaktu bersama BN dahulu, apakah PH sekadar berdiam diri saja?

Apakah pemimpin-pemimpin PH yang sudah ada jawatan dan nikmat kedudukan sekarang ini sudah lupa di mana dan bagaimana mereka bermula dahulu?

-https://shahbudindotcom.net

.