KEBEBASAN BERSUARA MESTI ADA BATASNYA

Entah kenapa, kebebasan bersuara di negara kita kebelakangan ini bagai berlaku dengan bebas dan sebebas-bebasnya.

Semua orang seolah-olahnya boleh berkata apa saja dan kepada sesiapa saja serta dengan bahasa apa sekali pun.

Yang lebih buruk, kata-kata kasar dan kesat itu tidak saja ditujukan kepada mereka yang berbeza pendirian atau terhadap pemimpin yang dimusuhi, tetapi juga berkaitan agama dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah.

Tidakkah ini sebenarnya sesuatu yang amat buruk dalam konteks negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia?

Bagaimanapun, adalah dipuji kerana penghinaan berkaitan agama dan kemuliaan Rasulullah ini sudah mula diambil tindakan tegas oleh kerajaan. Inilah yang rakyat mahukan sebenarnya.

Jika penghinaan kepada sesuatu agama dibiarkan, ia tentu saja akan mengundang tindak-balas yang akhirnya semua agama akan terdedah kepada penghinaan.

Tidak mustahil nanti, bukan saja rusuhan boleh berlaku, bahkan perang pun adalah kebarangkalian sekali.

Sebab itu, pencegahan awal mesti dilakukan. Tetapi bagaimana dengan penghinaan lain seperti kepada pemimpin negara?

Kita bukan saja tersentap apabila budak-budak bingai atau separuh masak menggelar pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, dengan panggilan keji, kesat dan tidak sepatutnya, kadangkala orang tua-tua pun terbawa sama dengan suka memanggil pemimpin yang tidak disukai atau dimusuhinya dengan gelaran yang lebih kurang sama juga.

Ada juga yang kerana marahkan seorang menteri, sampai berkata mahu mencurahkan asid ke mukanya.

Apa sudah jadi dengan budi bahasa di kalangan rakyat kita sebenarnya?

Lebih buruk lagi, pemimpin negara pun selalu terbawa-bawa dengan amalan yang sama.

Dulu, ada pemimpin negara pernah mengeluarkan perkataan bangang, haramjadah dan sebagainya, kini pun nampaknya tidak jauh bezanya.

Hari ini ada seorang menteri yang aoabila ditanya mengenai penyelewengan AP atau permit import kereta, dengan sedikit marah berkata, jika diberikan bukti mengenainya, beliau mahu mengetuk kepala mereka yang melakukannya.

Adakah seorang menteri wajar berbahasa seperti mat rempit berbual di tepi-tepi jalan ketika mengulas sesuatu perkara?

Walaupun Tun Mahathir Mohamad pernah mengatakan menteri-menteri di bawah pentadbirannya adalah mentah-mentah belaka dan tiada pengalaman, hakikatnya mereka bukanlah budak-budak remaja lagi.

Dengan kedudukan mereka yang sudah berusia, ada keluarga, berpendidikan lagi, di mana logiknya jika mereka masih suka berbahasa kasar, kurang hemah dan tiada budi bahasa?

Bagaimana agaknya budi bahasa mereka di rumah ketika berbual dengan keluarga, ibu bapa, adik-beradik dan anak sendiri?

Dalam hal ini, selain pemimpin sendiri perlu menunjukkan teladan yang baik dengan berbahasa selaku manusia yang bertamadun, terutamanya di dalam televisyen atau di depan wartawan, kerajaan sendiri harus ada ketegasan tanpa kompromi mengenainya.

Kebebasan bersuara bukanlah bermakna seseorang itu bebas bercakap apa saja dan kepada sesiapa juga. Kebebasan mesti ditunjangi sama dengan perasaan hormat serta budi bahasa.

Sebab itu, apabila mengkritik mereka yang berjawatan atau lebih tua atau kerana ingin menegur Perdana Menteri misalnya, sudah tentu ada adab-adab yang perlu dipatuhi.

Jika diredah begitu saja dan digunakan bahasa yang kesat, berbentuk makian atau carutan, apakah bezanya orang itu sebagai manusia dengan haiwan yang bebas tanpa kawalan di hutan-hutan?

Kerajaan tidak harus bertangguh atau gentar melaksanakan undang-undang terhadap mereka yang berkelakuan keji itu.

Kita ada banyak peruntukan undang-undang untuk menangani dan memberi pengajaran kepada rakyat berhubung amalan tidak sihat yang semakin berleluasa itu.

Lagi dilewat tindakan diambil, lagi gejala itu akan tambah berleluasa. Tindakan tegas sekurang-kurangnya akan menimbulkan ketakutan untuk mereka yang lain daripada turut sama melakukannya di masa-masa akan datang.

Rakyat pasti akan menyokong kerajaan dalam hal ini. Bagaimana sekali pun bencinya kita kepada seseorang pemimpin, majoriti rakyat lebih benci jika bahasa yang kesat, keji, memaki atau mencarut digunakan terhadap pemimpin berkenaan.

Pemimpin yang dibenci atau tidak disukai boleh ditolak dalam pilihanraya, tetapi bukan boleh sesuka hati dicaci, dimaki atau dicarut begitu saja.

-https://shahbudindotcom.net/

.