MASIH ADA LAGI RUPANYA YANG MENYEBAR KHABAR ANGIN UNDI TAK PERCAYA

Di sebalik suasana politik dalaman PH nampaknya agak reda dan tumpuan rakyat kini lebih kepada isu-isu lain seperti seperti pencemaran Sungai Kim Kim yang menyebabkan semua sekolah di daerah Pasir Gudang diarahkan tutup, rupa-rupanya masih ada yang terus menyebarkan khabar angin berhubung isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Diperkatakan, baik melalui perbualan umum atau tulisan di beberapa media sosial, kononnya usaha Anwar Ibrahim mahu mengusulkan undi tidak percaya itu adalah pada Selasa lalu tetapi telah menemui kegagalan kerana tidak cukup sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen yang memihak kepadanya.

Lantaran itu Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan telah membatalkan usaha untuk membawa usul tersebut pada saat-saat akhir.

Bagaimanapun, penyebar khabar angin itu meneruskan lagi dongengnya dengan mengatakan Anwar akan mencuba sekali lagi untuk mengemukan usul yang sama sebelum sidang Parlimen berakhir pada 11 April depan.

Untuk apa sebenarnya Anwar buat gila mahu membawa usul undi tidak percaya sedangkan peralihan kuasa kepadanya akan berlaku dalam tempoh dua tahun setelah Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Bukankah lebih baik beliau bersabar sebagaimana tempoh masa yang dipersetujui itu?

Sebetulnya, bukan saja Anwar tiada perancangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya itu, malah Azmin Ali sendiri dalam ucapannya di Parlimen telah menegaskan bahawa PH komited untuk terus memberi sokongan padu kepada Tun Mahathir menerajui negara ini.

Ketika ini Majlis PH turut tiada masalah berhubung peralihan kuasa yang telah dipersetujui itu, malah hubungan Anwar dengan Tun Mahathir juga berada pada tahap terbaik ketika ini.

Sejak tiga bulan lalu, setiap sebulan sekali Anwar mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir untuk beliau melaporkan apa-apa kerja yang dilakukannya, baik di dalam mahupun luar negara, selain meminta nasihat serta pandangan Perdana Menteri berhubung pelbagai isu semasa.

Dengan itu, Anwar hanya perlu kekal bersama Tun Mahathir, di samping menunggu tibanya waktu yang sesuai untuk beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara ini sebagaimana yang telah dijanjikan itu.

Khabar angin atau dongeng mengenai usul undi tidak percaya kepada Tun Mahathir tidaklah lain hanyalah perancangan pihak musuh atau pembangkang yang tidak senang berhubung peralihan kuasa tersebut.

Jika peralihan kuasa berjalan dengan lancar sepertimana dipersetujui, maka tiadalah perpecahan dalam PH dan ini bermakna sukarlah mereka untuk menggugatnya dalam PRU akan datang.

Selain itu, pihak musuh PH juga sebenarnya bimbang dengan kelibat Anwar yang lebih Islamik dan terkenal dengan idea-idea progresifnya apabila memegang kuasa nantu akan menjadikan mereka semakin dijauhi oleh rakyat.

Idea-idea Anwar semasa berada dalam kerajaan dahulu seperti memperkenalkan Bank Islam, Universiti Islam serta pelbagai pendekatan cakna kepada rakyat adalah antara yang membuatkan kerajaan ketika itu lebih dekat di hati rakyat.

Inilah yang sebenarnya menakutkan pihak pembangkang, lalu mereka terpaksa mereka-reka cerita kononnya ada usul undi tidak percaya akan dibawa yang semata-mata bertujuan memecah-belahkan PH.

Sokongan yang kononnya diberikan kepada Tun Mahathir jika berlaku undi tidak percaya hanyalah bertujuan supaya Perdana Menteri terghairah untuk memegang kuasa melebihi dua tahun dan memungkiri janji peralihan kuasa.

Seterusnya, jika itu berlaku, tentulah PH akan berpecah yang berpunca daripada pergeseran semula antara Tun Mahathir dengan Anwar.

Akibatnya, PH akan berpecah, lemah, rakyat jadi bosan dan di sinilah diharapkan munculnya peluang pembangkang untuk menang semula dalam pilihanraya akan datang.

Namun, kiranya peralihan kuasa berjalan lancar dan PH tidak berpecah, kalau pun tidak sehingga 60 tahun, barangkali dua tiga penggal jugalah pembangkang yang ada sekarang akan terus bergelar pembangkang di negara ini.

-https://shahbudindotcom.net

.