MENGAPA TUN M TAK MENJAWAB APABILA DITANYA TENTANG SIJIL PALSU?

Bukan perkara yang biasa bagi Tun Mahathir Mohamad tidak menjawab atau mengelak daripada menjelaskan sesuatu perkara yang ditanyakan kepadanya.

Biasanya, tanyalah apa jua soalan atau siapa saja yang ingin menanyakan soalan kepadanya, pantang bagi Tun Mahathir tidak memberikan jawapannya.

Di dalam negara atau di luar negara, di forum antarabangsa atau oleh wartawan media, tidak pernah sekali pun beliau menghampakan mereka yang bertanya soalan atau inginkan jawapan daripadanya.

Beliau selalu dianggap sebagai sumber berita yang tidak pernah menghampakan bagi wartawan.

Dan karektor itulah yang menjadikan beliau sentiasa nampak hebat dan berbeza berbanding Perdana Menteri lain yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.

Tetapi, ternampak ada yang luar biasa tentang Tun Mahathir di Parlimen pagi tadi.

Ketika Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan bertanya tentang kerajaan berintergriti yang sekarang ini dibelenggu dengan dua masalah utama iaitu janji-janji manifesto yang gagal ditunaikan serta beberapa anggota pentadbiran kerajaan yang didapati memiliki sijil akademik palsu, Tun Mahathir hanya menjawab soalan yang pertama saja.

Soalan berkaitan anggota pentadbiran kerajaan yang didakwa memiliki sijil akademik palsu, langsung tidak dijawabnya.

Beliau terus duduk selepas memberi jawapan mengenai sebab janji-janji manifesto berdepan masalah untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

Malah, selepas beliau menjawab soalan pertama itu dan Ahmad Maslan kemudian bertanya tentang soalan kedua yang tidak dijawab oleh Tun Mahathir, Speaker terus memintasnya dengan mengatakan masa sudah tamat.

Pelik kan!!

Mengapa Tun Mahathir tidak berani menjawab tentang perkara itu?

Bukankah selama ini beliau terkenal dengan kehebatan berhujah dan menjawab apa juga soalan serta akan mempertahankan mereka yang dilantiknya?

Apakah ini bermakna Tun Mahathir sendiri dalam diam-diam sebenarnya turut terasa terbeban dengan anggota pentadbiran kerajaan yang didakwa memiliki sijil palsu itu?

Atau ini menandakan beliau mahu merombak kabinet dan membuang semua mereka yang memiliki sijil palsu itu dalam waktu terdekat ini?

Jika tidak, mengapa kali ini beliau mengelak daripada mempertahankan kepalsuan mereka itu?

-https://shahbudindotcom.net

.