ANWAR YANG SERBA SEDERHANA

Presiden PKR yang dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 telah mengisytiharkan jumlah harta yang dimilikinya kepada SPRM baru-baru ini.

Dalam pengisytiharan itu, harta yang dimilikinya hanya berjumlah RM10.75 juta saja

Jumlah itu merangkami sebuah rumah di Bukit Segambut bernilai RM9.5 juta, sebidang tanah di Kuantan bernilai anggaran RM420 ribu dan wang simpanan serta pelaburan sebanyak RM828, 658.83.

Rumah di Bukit Segambut itu dibeli pada harga RM4.5 juta setelah menjual kediaman asalnya di Bukit Damansara pada 2005 yang lalu.

Tanah di Kuantan itu pula dibeli Anwar pada tahun 1974 dengan harga hanya RM7,000 ketika itu.

Itu sajakah kekayaan Anwar sedangkan beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika bersama UMNO dahulu?

Ya…itulah Anwar. Beliau seorang yang cukup sederhana dan tidak taksub untuk mengumpul harta kekayaan melalui pelbagai jawatan kanan yang pernah disandangnya ketika dalam kerajaan.

Bukan saja kehidupannya serba sederhana, bahkan dalam beberapa ucapannya juga beliau kerap menyeru kepada amalan hidup dalam kesederhanaan.

Malah ketika bersama UMNO dahulu di mana ramai yang kaya kerana bantuan dan pertolongannya, kehidupan beliau sekeluarga tetap sederhana.

Ketika itu, isteri beliau, Dr. Wan Azizah Wan Ismail hanya berpakaian biasa, tiada hiasan gemerlapan di tubuhnya, juga tidak ada sama sekali beg tangan mahal sebagai penemannya ke mana-mana.

Jumlah kekayaan Anwar yang diisytiharkannya kepada SPRM ini tentu saja jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pemilikan harta kebanyakan para pemimpin UMNO yang semua sedia maklum, dengan jawatan Timbalan Menteri, Ahli Parlimen atau Pengerusi GLC saia pun, jumlah harta mereka jauh lebih menimbun lagi.

Sebut siapa saja, mana pemimpin UMNO yang tidak kaya ketika mereka pernah kuasa dahulu?

Sebagai bakal penerajui negara, kesederhaan dan kekayaan Anwar yang tidak seberapa ini sebenarnya adalah penawar untuk memungkinkan negara di bawah kepimpinannya nanti mampu memberi kesejahteraan yang lebih merata kepada rakyat jelata.

-https://shahbudindotcom.net/

.