OPERASI PUTRAJAYA SEKAT EKSPORT HARAM PASIR

SAYA hendak cerita yang mudah saja dalam tampalan kali ini iaitu mengenai perlombongan dan penjualan pasir ke luar Negara.

Ada yang kata eksport dan ada juga yang kata seludup sebab eksport pasir untuk pembinaan dan menambak laut diharamkan.

Kira-kira sebulan lalu satu sumber peringkat tinggi memberi tahu bahawa satu operasi bersepadu yang dibagi nama “Ops Pintasan” telah dilakukan di Johor dan Selangor atas arahan kerajaan pusat di Putrajaya bagi menyekat kegiatan itu.

Arahan itu katanya dikeluarkan dan operasi dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, terjumpa dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,  di Johor Baru 10 Januari lalu.

Saya tidak menulis mengenai operasi itu sebab saya rasa lebih elok saya tunggu surat khabar atau mana-mana saluran berita menulis mengenainya dulu.

Tetapi setelah menanti lebih sebulan dan tidak terbaca laporan mengenainya maka saya pun bertanya kepada sumber saya itu bolehkah saya menulis cerita tersebut.

Dia kata terserahlah kepada saya. Saya bertanya kerana dalam ilmu kewartawanan yang saya pelajari dan amalkan ada satu hukum yang dipanggil melindungi sumber berita (protecting the source of new).

Jadi saya ceritalah apa yang saya tahu tetapi kalau tidak tepat atau kurang tepat saya mintalah pihak berkuasa yang terlibat membuat penjelasan.

Seperti saya tegaskan berulang kali, blog kita ini mengamalkan dasar asas kewartawanan iaitu hak menjawab (right of reply).

Saya tidak tahu mengapa berita operasi itu tidak keluar dalam media massa. Boleh jadi tidak terhidu oleh pemberita atau boleh jadi  juga berita operasi itu dianggap sensitif.

Ikut cerita, dua buah tongkang bersama bot tunda telah ditahan di perairan Malaysia berhampiran Pengerang, Johor ketika dalam pelayaran ke Singapura atau ke arah republik tersebut.

Penyata muatan (manifest) tongkang itu mengatakan ia membawa silika iaitu pasir bersih untuk diproses menjadi kaca. Eksport silika dibenarkan.

Tetapi ada sedikit silika dalam dua buah tongkang itu. Selebihnya adalah pasir biasa yang digunakan untuk pembinaan atau menambak laut.

Yang menarik ialah pemilik pasir yang dipintas dan disita itu adalah sebuah syarikat yang dikatakan amat terkenal di kalangan rakyat jelata Johor dan selama berpuluh tahun terlibat dengan kegiatan mengeksploitasi hasil bumi negeri tersebut seperti balak dan pasir.

Serentak itu, pihak berkuasa juga menahan dan menyekat lori-lori yang membawa pasir ke Singapura di pintu keluar Link Kedua. Lori-lori itu dikatakan membuat 400 hingga 500 perjalanan sehari ke republik tersebut.

Pihak berkuasa juga membuat tangkapan melibatkan sebuah kapal korek pasir di Tanjung Rhu, Sepang, Selangor yang dimiliki oleh tauke tempatan tetapi dikendalikan oleh pekerja dari China yang tidak ada visa untuk memasuki Malaysia.

Maksudnya ialah kegiatan melombong dan mengeksport pasir laut, sehingga tarikh operasi itu, terus berlaku walaupun telah diharamkan.

Saya difahamkan hanya pasir di muara sungai sahaja dibenarkan digali dan dijual sebagai langkah mendalamkan pintu kuala supaya kapal nelayan mudah masuk keluar dan bagi mengawal banjir.

Banyak pihak, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri, memaklumkan kepada saya bahawa kegiatan melombong pasir laut adalah antara punca utama kerosakan ekosistem marin dan perbuatan merampas tanah (land grab) oleh sesetengah pihak yang berpengaruh.

-https://kadirjasin.blogspot.com/

.