UMNO-PAS BERSEKEDUDUKAN – MCA & MIC KELUAR PINTU BELAKANG

UMNO dan Pas sudah pun bersekedudukan dan telah menghasilkan dua “cahaya mata” iaitu Parlimen Cameron Highlands di Pahang dan Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor.

Jadi tidak mengejutkan kalau MCA dan MIC mengambil keputusan untuk keluar pintu belakang dengan tujuan mencari pasangan baru.

Sama ada Umno dan Pas berkahwin secara sah atau sekadar bersekedudukan, MCA dan MIC tidak ada tempat lagi di dalam rumah bernama Barisan Nasional (BN) itu.

Malah nama BN tidak sesuai lagi digunakan oleh Umno dan Pas kerana gabungan mereka bukan berasakan kepelbagaian bangsa dan agama tetapi berupa kesepakatan di antara Melayu nasionalis dan Melayu agama.

Gabungan mereka lebih merupakan parti perkauman agama. Umno parti perkauman kerana ia mewakili hanya orang Melayu dan Pas pula parti yang berasaskan Islam.

Soalnya, apakah maslahat (muslihat) yang akan mereka guna untuk menghalalkan gabungan mereka dan menyamak najis yang mereka campakkan ke arah satu sama lain selama ini?

Pas pernah menuduh Umno assabiyah dan Abdul Hadi sendiri mengeluarkan amanat yang mengatakan, lebih kurang, bahawa darah orang Umno sah ditumpahkan dan orang Pas yang terbunuh melawan Umno adalah syahid.

Kelebihan Abdul Hadi berbanding pemimpin Pas sebelum beliau adalah kesediaan menggunakan apa saja maslahat demi menghalalkan tindak-tanduknya. Dia banyak maslahat dan banyak akal.

Umno pula memerlukan suntikan keagamaan dan cap Islam setelah tenggelam dalam kekayaan dunia dan hanyut dalam arus kehidupan hedonis untuk sekian lama.

Pada zaman bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, Umno telah membina jambatan yang menghubungkannya dengan Pas atas dasar “cash is king”.

Ia telah “mengkorupsikan” pemimpin tertentu PAS dengan memperkenalkan mereka kepada gaya hidup mewah melalui sogokan yang dikatakan bernilai hingga RM90 juta.

Pekung Makin Gatal

Hal itu terbongkar dan menjadi sahih apabila Pas dan para sahabatnya baru-baru ini membayar RM1.4 juta kepada Ketua Pengarang Sarawak Report, Claire Brown, supaya menggugurkan kes saman malu di mahkamah sivil London.

Kesenangan dunia yang ditawarkan oleh Umno itu akhirnya memerangkap Pas. Pas sedang hilang akal – lebih kurang macam orang yang seleweng agama akhirnya jadi gila isim – gila dan insane. Dua kali gila.

Pas yang lantang meneriakkan slogan Darul Islam dan Hudud tetapi pergi ke negara kafir untuk menggunakan undang-undang kafir bagi menutup pekung di dadanya.

Kesudahannya pekung makin terdedah dan berjuta duit ahli habis dibelanjakan untuk saman Sarawak Report. Bila Sawarak Report lawan balik, Pas upah Claire Brown supaya selesai luar mahkamah.

Soalnya bolehkah orang Melayu/Islam mempercayai dua buah parti – yang sebuah memperalatkan bangsa Melayu dan sebuah lagi memperalatkan agama Islam – untuk membela mereka?

Setelah kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu dan diceraikan oleh parti-parti sekutu BN, Umno hilang keyakinan dan dalam kesunyian.

Mencari pasangan baru bukan mudah apabila ahlinya sendiri keluar parti dan banyak pemimpinnya dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah.

Tiba-tiba, macam orang Utara kata, dok tak dok mai Pas. Pas tidak macam Umno. Menikah cerai perkara biasa dalam amalan politiknya.

Kalau janda, kita bolehlah sifatkan Pas sebagai seorang  janda yang banyak pengalaman bernikah cerai dan boleh memadu cinta berahi dengan sesiapa saja.

Pas asalnya dari Umno. Kemudian keluar Umno. Antara 1974 dan 1977 menikah balik dengan Umno dan duduk di dalam rumah besar BN. Kemudian pada tahun 1977 kena cerai apabila Perdana Menteri masa itu, Almarhum Tun Hussein Onn menuduhnya curang.

Lepas itu Pas bernikah cerai dengan macam-macam parti termasuklah dengan parti yang paling dibencinya sekarang, iaitu DAP.

Jadi ada jugalah baiknya kalau Umno mengahwini atau bersekedudukan dengan Pas. Setidak-tidaknya bolehlah ia merasai kenikmatan berdua-duaan dengan sebuah parti yang sangat banyak pengalaman dalam hal nikah cerai politik.

Dan adalah menjadi kesilapan besar bagi Pakatan Harapan (PH) jika ia memandang ringan perkongsian Umno-Pas ini apatah lagi pada ketika semakin ramai rakyat jelata yang mengundinya 9 Mei lalu tidak puas hati dengan prestasinya.

Cameron Highlands dan Semenyih sudah lebih daripada cukup untuk memberi amaran “defcon” tahap paling tinggi kepada para pemimpin PH.

-https://kadirjasin.blogspot.com

,