PAS & UMNO KAHWIN JUGA AKHIRNYA, TAPI RASA-RASANYA BOLEH BERTAHAN BERAPA LAMA?

Bermula semalam UMNO dan Pas diisytiharkan telah berkahwin secara rasminya.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan mengumumkan perkara tersebut selepas selesai mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan rombongan lima pemimpin Pas yang sudi bertandang buat pertama kali memijakkan kaki ke Menara Datuk Onn, PWTC.

Rombongan pemimpin Pas itu diketuai oleh Tuan Ibrahim Tun Man, manakala UMNO yang menerima kedatangan Pas diketuai oleh Mohamad Hassan sendiri.

Kata Mohamad Hassan lagi, selepas ini kedua-dua parti akan bekerjasama secara rasmi dengan fokus kepada penyatuan ummah dan isu-isu kepentingan bersama serta akan membawa hasil perbincangan ke peringkat tertinggi parti masing-masing.

Turut akan dilaksanakan ialah penubuhan jawatankuasa teknikal melibatkan kedua-dua parti untuk memperincikan lagi bentuk kerjasama, termasuk gerak kerja dalam mana-mana pilihanraya kecil selepas ini.

Bagaimanapun, kata beliau, UMNO dan Pas tidak akan bergabung menjadi sebuah parti serta tiada simbol baru yang akan digunakan dalam PRU15 akan datang.

Setelah UMNO hilang kuasa buat pertama kalinya dan Pas pula tidak pernah merasa nikmat berkuasa, perkahwinan yang berlaku setelah kedua-duanya dalam alam sengsara ini tidaklah begitu memeranjatkan sebenarnya.

Tambahan lagi, Pas memang kerap berkahwin dan bercerai sebelum ini.

Pas pernah direkodkan berkahwin dengan Semangat 46, PKR dan juga bersama DAP.

Malah ketika sunyi bersendirian setelah ditinggalkan selepas PRU13, Pas juga sanggup berkahwin dengan Parti Ikatan yang menurut seorang bekas Ahli Parlimen, keahlian parti pimpinan Kadir Sheikh Fadzir itu tidak sampai pun 200 orang jumlahnya.

Melalui semua perkahwinan itu, terlahirlah Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Gagasan Sejahtera untuk menjadi kuasa ketiga dalam PRU14 yang lalu.

Tetapi, semua perkahwinan itu tidak pernah kekal dan tidak pernah juga berjaya membawa Pas menguasai Putrajaya.

Apabila Pas berkahwin sekali lagi, kali ini dengan UMNO yang sudah kehilangan kuasa dan tanpa diketahui sama ada perlahwinannya dengan Parti Ikatan masih ada atau telah diceraikan secara senyap-senyap, persoalannya ialah berapa lamakah mampu bertahannya hubungan kali ini?

Bolehkah perkahwinan ini bertahan sehingga PRU15 akan datang atau lebih lama daripada itu dan mampukah Pas bertolerasi dengan UMNO dalam soal pembahagian kerusi kerana mereka secara umumnya adalah berebut banyak kawasan yang sama?

-https://shahbudindotcom.net

.