PERINGATAN UNTUK PH: ORANG MELAYU BELUM SEDIA KETUANAN MEREKA DIUSIK

Terlebih dahulu ingin ditegaskan bahawa ini bukanlah tulisan berbentuk perkauman atau bertujuan merangsang sentimen tersebut.

Tulisan ini hanyalah berupa perolehan maklumat di peringkat bawahan yang terlalu biasa didengar di mana-mana sejak akhir-akhir ini untuk disampaikan dan didengari oleh pimpinan kerajaan di peringkat atasan.

Selepas sembilan bulan PH berkuasa, orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti atau pemegang taruh sekitar 65 peratus daripada seluruh rakyat negara ini jelas masih tidak gembira terhadap kerajaan dalam konteks menjaga kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam.

Kerajaan PH dengan slogan Malaysia Baru dilihat terlalu longgar dan toleran dalam perkara tersebut.

Perkara awal yang membuatkan orang-orang Melayu tersentak dengan kerajaan baru pimpinan Tun Mahathir Mohamad ialah perlantikan bukan Melayu menjadi Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara.

Meskipun negara ini berbilang kaum dan sesiapa saja yang layak boleh memegang jawatan tersebut, tetapi pemegang saham majoriti 65 peratus tadi jelas tidak gembira, malah tidak menyangka Tun Mahathir yang dikenali sebagai “pemimpin Melayu Ultra” sanggup menyerahkan jawatan penting itu kepada Lim Guan Eng, Tommy Thomas dan Richard Malanjun.

Di situlah bermulanya sentimen Melayu dan Islam berkocak dalam negara ini. Ia kemudian tambah membara apabila UMNO dan Pas setuju untuk bekerjasama untuk berlawan dengan PH atas sentimen yang sama.

Dalam hal ini, PH tidak boleh menyalahkan UMNO dan Pas kerana memainkan sentimen kaum dan agama kerana sebagai parti politik yang matlamatnya untuk meraih sokongan dan menumbangkan lawan, bodohlah jika mereka tidak menelan hidangan enak yang sedia terbentang di depan mata.

Memang suatu ketika dahulu jawatan Menteri Kewangan dan Peguam Negara pernah dipegang oleh bukan Melayu, tetapi keadaan pada waktu itu tidak lagi sama dengan sekarang.

Dengan orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang ekonomi dan perniagaan, meskipun setelah lebih 60 tahun merdeka, pada tanggapan orang Melayu, menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada bukan Melayu bermakna menyerahkan satu kuasa politik tambahan kepada kaum tersebut.

Ada yang berhujah, dengan berpuluh tahun sebelum ini jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh orang Melayu pun, namun bukan Melayu berjaya menguasai sekitar 70 peratus ekonomi dan perniagaan dalam negara ini, tentulah penguasaan mereka lebih melebar lagi apabila jawatan penting itu dipegang oleh Guan Eng.

Memburukkan lagi ialah bilamana Tun Mahathir juga menyerahkan beberapa kementerian penting lain kepada bukan Melayu juga.

Bagi orang Melayu, jawatan Menteri Kewangan khususnya dan lain-lain kementerian kanan adalah hak Melayu dan ia seperti suatu ketuanan bagi mereka.

Begitu juga dengan Peguam Negara, suatu ketika dahulu ia turut pernah disandang oleh bukan Melayu, tetapi ketika itu isu-isu mahkamah melibatkan kepentingan Melayu dan Islam tidaklah sebanyak seperti sekarang.

Sekarang ini dengan pelbagai isu melibatkan Melayu dan Islam menjadi persendaan serta momokan dan kes-kes saman berkaitannya sudah menjadi lumrah di mahkamah, orang Melayu akan melihat masih ada harapan untuk mereka dilindungi jika jawatan Peguam Negara disandang oleh Melayu juga.

Sama seperti jawatan Menteri Kewangan dan kementerian kanan, jawatan Peguam Negara juga adalah suatu ketuanan bagi orang-orang Melayu.

Sama halnya dengan Ketua Hakim Negara, ia berkait rapat dengan pentingnya jawatan Peguam Negara serta mahkamah. Lantaran itu, dalam sejarah negara, hanya sekali jawatan Ketua Hakim Negara pernah disandang oleh bukan Melayu iaitu James Beveridge Thomson antara tahun 1963 hingga 1966. Selepas itu, semua jawatan Ketua Hakim Negara adalah disandang oleh orang Melayu.

Bermakna kerajaan sebelum ini sedar pentingnya jawatan Ketua Hakim Negara itu dalam konteks menjaga kepentingan Melayu kerana ia turut merupakan ketuanan bagi orang-orang Melayu.

Yang membuat ramai orang Melayu, sama ada penyokong PH atau penyokong UMNO dan Pas, tidak berapa faham ialah apakah mustahaknya bagi Tun Mahathir menyerahkan ketiga-tiga jawatan penting itu kepada bukan Melayu sedangkan ketika Melayu memegang jawatan itu sebelum ini, orang bukan Melayu tetap boleh menerimanya dengan baik?

Apakah perlantikan itu disebabkan DAP menang lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Bersatu atau bertujuan untuk menghargai sokongan Melayu yang berjaya menumbangkan BN?

Kaum bukan Melayu secara umumnya sedar mereka adalah kaum minoriti yang terkepung dengan hak-hak istimewa orang Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi. Sebab itu, mereka boleh menyesuaikan diri dan tidak keterlaluan dalam menuntut hak-hak mereka, kecuali segelintir golongan yang ekstrem saja.

Tidak pernah sebarang kekecohan ditimbulkan oleh bukan Melayu disebabkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dipegang oleh orang Melayu.

Walaupun kerajaan PH dan Tun Mahathir masih boleh berhujah bahawa perlantikan itu berdasarkan kelayakan dan tiada kena-mengena dengan sesuatu kaum, bagaimanapun mereka haruslah sedar realiti negara ini serta kedudukan Melayu dan Islam yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Sebarang tindakan yang dilihat meminggirkan orang Melayu atau mengusik ketuanan mereka, ia sentiasa akan mengundang sentimen kaum dan agama oleh pihak lawan serta kian menghakis sokongan mereka kepada kerajaan. Orang Melayu pula memang mudah tersentuh kalau perkara itu diusik.

Memang orang Melayu juga mahu perubahan dalam PRU14 lalu, tetapi jika mereka tahu jawatan Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bakal diserahkan kepada bukan Melayu, sudah tentu mereka tidak sedia bersama-sama dengan PH untuk menumbangkan BN.

Tidak dinafikan, keputusan PRK di Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini adalah lantunan daripada kekecewaan orang Melayu terhadap kerajaan yang bukan saja disebabkan gagal menunaikan banyak janji manifestonya, tetapi juga kerana usikan terhadap ketuanan Melayu itu.

Orang Melayu akan terus bersatu menolak kerajaan selagi tiada jaminan berhubung hak dan kedudukan mereka. Secara majoritinya, orang Melayu masih belum sedia ketuanan mereka dicerobohi.

-https://shahbudindotcom.net

.