BN MENANG DI SEMENYIH, MENURUT KEPUTUSAN TIDAK RASMI

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Semenyih berakhir pada jam 5.30 petang tadi, apabila semua pusat pengundian ditutup. Proses pengiraan undi sedang berlangsung.

Setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi akaun Twitternya memaklumkan peratusan keluar mengundi pada kadar 68%.

Pengundian awal dijalankan pada Selasa lalu melibatkan 951 pengundi daripada jumlah keseluruhan pemilih seramai 54,503.

Undi dibuang di 24 pusat pengundian, melibatkan 116 saluran.

PRK Semenyih adalah yang keenam dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Ia menemukan empat calon, Muhammad Aiman Zainali (Pakatan Harapan), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

Undi daripada semua saluran mengundi akan dibawa dan dicampur di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

The Malaysian Insight membawakan lintas langsung keputusan:

8.35pm: Bilik Gerakan BN bagi pilihan raya kecil DUN Semenyih meriah dengan kegembiraan, manakala di perkarangan bilik gerakan berkenaan penyokong mula menyanyi “Terima kasih kepada PAS”.

PAS, yang bertanding di kerusi itu pada PRU14, tidak meletakkan calon kali ini dan mengisytiharkan menyokong BN.

Pemimpin gabungan, pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa sedia untuk ke pusat oengiraan undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang yang mana SPR akan mengumumkan secara rasmi keputusan pilihan raya kecil itu.

8.02pm: BN rampas kerusi DUN Semenyih di Selangor daripada PH selepas memenangi 18,864 undi, menurut keputusan tak rasmi Institut Darul Ehsan.

Setakat jam 8 malam, BN mendahului dengan 1,514 undi berbanding Pakatan Harapan 17,350 undi, manakala calon bebas dan PSM masing-masing mendapat 689 dan 838 undi.

7.53pm: Hanya empat daripada 24 pusat pengundian masih belum ada keputusan tidak rasmi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, PH hanya berjaya mengatasi BN di empat pusat pengundian Semenyih Indah (majoriti 820), Semenyih Barat (majoriti 486), Bandar Rinching Seksyen 1-4 (majoriti 593) dan Tarun (majoriti 273).

7.33pm: Walaupun BN mendahului, PH berjaya meraih sokongan pengundi Orang Asli seperti terbukti dalam keputusan tidak rasmi dari Pusat Pengundian Tarun.

PH meraih 401 undi di sana, berbanding 128 diperolehi BN.

PSM pula meraih 32 undi, dan calon Bebas hanya mendapat 9 undi.

7.27pm: SPR juga mengeluarkan jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN mendahului dengan majoriti 2,396.

BN kini meraih 16,365 undi, PH pula 13,969, diikuti PSM dengan 649 undi dan calon Bebas, 597 undi.

Setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi akaun Twitternya memaklumkan peratusan keluar mengundi pada kadar 68% daripada jumlah pemilih 53,411. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Mac, 2019.
Setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi akaun Twitternya memaklumkan peratusan keluar mengundi pada kadar 68% daripada jumlah pemilih 53,411. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Mac, 2019.

7.10pm: Tidak rasmi, BN kini mendahului dengan 651 selepas 16,884 undi dikira.

Angka itu dikeluarkan Institut Darul Ehsan, BN meraih 8,440 undi sementara PH 7,789 undi.

Calon Bebas Kuan hanya mendapat 324 undi dan calon PSM Nik Aziz pula 331 undi.

IDE menjangkakan pemenang PRK ini akan dapat diketahui apabila 18,800 undi dikira, berdasarkan anggaran keluar mengundi 69%.

7.00pm: Prestasi BN di pusat mengundi majoriti Melayu seperti Kampung Rinching, Sesapan Batu Rembau dan Sungai Jai adalah baik, menurut sumber di Pusat Jentera Pilihan Raya BN.

Di Kampung Rinching misalnya, BN meraih majoriti 230 undi berbanding PH, majoriti 297 di Sesapan Batu Rembau dan mendahului sebanyak 255 di Sungai Jai.

Manakala calon Bebas Kuan dan calon PSM Nik Aziz pula tidak meraih undi banyak di pusat pengundian tersebut.

6.37pm: BN kini meraih 2,533 undi berbanding PH hanya 2,220 undi, menurut keputusan tidak rasmi dari 11 daripada 24 pusat mengundi diperhatikan Institut Darul Ehsan.

Calon Bebas, Kuah pula meraih 99 undi dan calon PSM, 86 undi.

Menurut sumber BN, kadar keluar mengundi pada ketika pusat mengundi ditutup adalah 69% atau 37,607 pengundi, kurang satu peratus berbanding jangkaan SPR iaitu 70%.

5.50pm: Keputusan tidak rasmi daripada Institut Darul Ehsan yang memerhati proses pengundian menunjukkan BN mendahului dalam undi awal dan pos pada Selasa.

BN meraih 488 undi berbanding PH, 266.

Calon Bebas Kuan Chee Heng meraih 10 undi, manakala calon PSM hanya mendapat dua undi.

THE MALAYSIAN INSIGHT

.