BUKANKAH LEBIH BAIK HADI AWANG MENGAKU & BERTERUS-TERANG SAJA?

Apabila Clare Rewcastle Brown sendiri mengaku beliau telah dibayar sebanyak RM1.4 juta untuk penyelesaian luar mahkamah oleh Hadi Awang yang sebelum itu menyamannya, selain dalam waktu yang sama menunjukkan salinan cek dan dokumen lain berkaitan dengannya, isu ini sebenarnya sudah boleh dikira “tutup buku” dengan serta-merta.

Tambahan lagi, peguam yang namanya tertera sebagai penerima cek juga mengakui cek tersebut sudah ditunaikan dan wangnya telah pun diserahkan kepada Clare.

Ditambah beberapa jam kemudian Rafizi Ramli mendedahkan bahawa tuan punya cek yang membuat pembayaran itu bagi pihak Hadi itu ialah Rameli Musa, tokoh korporat yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Di kalangan mereka yang rapat dengan Pas, nama Rameli Musa bukanlah asing kerana beliau dikatakan merupakan antara penyumbang tetap dari segi kewangan kepada aktiviti parti itu sejak sekian lama lagi.

Oleh yang demikian, tidaklah sesuatu yang pelik apabila beliau sanggup menolong membuat bayaran RM1.4 juta itu bagi pihak Hadi.

Maka, dengan segala pendedahan dan dapatan ini, Hadi dan Rameli sepatutnya sudah boleh mengadakan sidang akhbar bersama bagi mengakui serta menjelaskan segala-galanya mengenai wang dan pembayaran kepada editor Sarawak Report itu.

Tetapi, yang menjadi masalah dan merupakan sebab isu ini terus diperbualkan ialah kerana keengganan pimpinan Pas, termasuk Hadi sendiri untuk mengakui mengenai wang tersebut dengan pelbagai alasan tidak masuk akal seperti cek palsu, akaun bank palsu dan sebagainya.

Ada juga pimpinan Pas yang masih berlagu sama dengan mengatakan ini merupakan satu lagi fitnah untuk merosakkan Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Lebih buruk lagi ialah sikap Hadi yang bukan saja enggan mengaku telah membayar kepada wang tersebut, meskipun segala buktinya telah terpapar di mata dunia, tetapi cuba berdalih dengan menggunakan pendekatan agama.

Dalam menghadapi isu ini, apa yang dipohon oleh Hadi ialah berdoa dan bermunajat kepada Allah untuk meminta pertolongan.

“Saya menyeru kepada pemimpin, ahli dan penyokong PAS untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa.

“Dengan menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah agar memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat,” katanya dalam hantaran pesanan melalui Facebook.

Bukanlah tidak boleh mengadu dan meminta tolong kepada Allah, tetapi dalam isu sebegini dan setelah bukti-bukti didedahkan, mengapa tidak Hadi membuat pengakuan pengakuan dan berterus-terang saja?

Mengapa masih mahu berdalih dengan cuba berlindung di sebalik kekuasaan Allah dan pendekatan agama, sedangkan segala-galanya sudah terang di depan mata?

Tidakkah dalam hal ini Allah juga yang berkuasa menggerakkan hati semua pihak lain mendedahkan segala bukti yang ada?

Bukankah mengakui kesalahan dan berterus-terang sebaik menyedari keterlanjuran, lebih-lebih lagi setelah segala bukti ditunjukkan, adalah juga sikap serta perbuatan yang dituntut oleh Islam?

Atau sikap dan pendekatan Hadi ini merupakan satu lagi bohong syarie?

Soalnya, sampai bila, terutama apabila timbul perkara-perkara yang sebenarnya lebih merupakan kesalahannya sendiri, Hadi masih bersikap enggan berterus-terang, sebaliknya tetap menjual nama Allah dan agama untuk melindungi dirinya serta mengajak ahli-ahli Pas bersekongkol dengannya?

Apakah wala’ dalam Pas sampai begitu sekali?

-https://shahbudindotcom.net/

.