PAKATAN ‘TERLALU KUAT’ BUAT MEREKA SELESA DAN KORUP, KATA NAJIB

BEKAS perdana menteri Najib Razak menggesa penduduk di Semenyih mengundi Barisan Nasional (BN) berikutan kerajaan Pakatan Harapan dilihat semakin selesa dan mula korup.

Dalam catatan di Facebook pada malam sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih Najib berkata, PH ‘semakin kuat’ sehingga beberapa isu di negeri ini yang sepatutnya diselesaikan ditunda.

“Apabila kerajaan ‘terlalu kuat’, ia tidak baik untuk rakyat,” katanya.

Najib membangkitkan keperluan pembangkang untuk mempunyai suara lebih kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan rakyat tidak mendafat manfaat menerusi janji di mulut sahaja.

Bekas perdana menteri yang berdepan tuduhan pelbagai rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini berkata, kerajaan yang kuat akan terdedah dengan rasuah.

“Di Selangor banyak laporan kes rasuah melibatkan ahli politik PH sejak mereka mengambil alih negeri itu pada 2008,” katanya tanpa menyebut nama.

Tambahnya, rakyat tidak boleh membenarkan orang-orang sebegitu bebas sedangkan pemimpin BN dikritik, dituduh dan ditahan sewenang-wenangnya.

“Sekiranya anda menyokong demokrasi adil maka BN harus diberi peluang di Semenyih,” katanya.

Walaupun kemenangan BN tidak akan membawa banyak perbezaan kepada PH di DUN, sekurang-kurangnya ia menambah suara pembangkang.

“Jika PH menang, mereka akan ada 51 kerusi daripada 56 kerusi atau 91% kerusi di Selangor.

“Jika PH kalah mereka masih mempunyai 50 kerusi atau 89.3% daripada kerusi negeri. Masih lebih dari 66.6% majoriti untuk kerajaan negeri mengubah perlembagaan negeri,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, BN kalah untuk kali pertama kepada calon PH di Semenyih.

Bagaimanapun Bakhtuar Mohd Nor yang memenangi kerusi itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas Kuan Chee Heng.

THE MALAYSIAN INSIGHT

.